NILAI –Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, 25, hos rancangan televisyen dan juga pempengaruh yang semakin meningkat naik dan mula dikenali ramai melalui platform media sosial ini merupakan salah seorang daripada 45 orang graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Qiraat daripada Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah yang telah bergraduasi di Majlis Konveksyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-21 hari ini.

Meskipun jadual hariannya kadang kala dipenuhi dengan jemputan program-program daripada stesen televisyen, beliau tetap tidak mengabaikan tugas hakikinya sebagai seorang pelajar.

Mengenang kembali kenangan pahit manis menyiapkan penulisan tesisnya ketika di tahun akhir, ‘Ammar menzahirkan rasa syukur dan terharunya kerana usaha yang dilakukannya bersengkang mata siang malam dalam keterbatasan waktu dan kesibukkannya, akhirnya membuahkan hasil dengan kejayaan menggenggam segulung ijazah.

“Ada satu masa tu dalam sehari, pada sebelah pagi saya pergi ke kelas, kemudiannya tengah hari pergi shooting program, sebelum sambung ke kelas semula pada petangnya”. Ujarnya.

Ketika ditanya bagaimana beliau mengekalkan hafazan Al-Qurannya dalam kesibukan belajar dan bekerja beliau berkata, “antara sebab utama saya memilih bidang pengajian Al-Quran dan Qiraat ini adalah kerana untuk mengulang hafazan saya seperti zaman belajar diploma dahulu”.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih dapat mengekalkan hafazan ini dan berharap dapat kekal istiqomah dengannya sehingga di alam pekerjaan kelak Insha-Allah”. Ujarnya lagi.

‘Ammar turut berkongsi kisah manisnya dalam mengharumkan nama USIM di atas pencapaiannya sebagai Johan dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2023 anjuran Jabatan Agama Hal Ehwal Islam (JAKIM) di Terengganu pada september yang lalu.

Selain Majlis Tilawah Al-Quran IPT, beliau turut mengharumkan nama USIM apabila dinobatkan Johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M selain tempat ketiga dalam program realiti Muazin (kategori Bilal) 2023 terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd baru-baru ini.

“Beliau tidak lelah dalam menyertai pelbagai pertandingan dan program-program berasaskan Tilawah Al-Quran dan Hafazan dan berpandangan bahawa untuk kekal relevan dalam sesuatu bidang yang kita ceburi, kita perlu sentiasa menambah baik kemahiran yang kita ada.

“Kita sertai sesuatu pertandingan itu bukan sebab nak famous atau menang semata, tetapi tujuannya adalah untuk kita belajar sesuatu yang baharu serta mengasah kebolehan dan bakat yang sedia ada”. Jelas beliau mengakhiri temu bual.

 

Muhamad Faris Mohd Faisal
StraComm Clique
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan