ACHEH, 26 OGOS 2015 – Biro Pengantarabangsaan dan Perhubungan Korporat, NadiThaqafah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dengan kerjasama NGO Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS) telah menganjurkan satu program GISO 2015: Kembara Kemasyarakatan Ke Bumi Acheh. Program ini disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada exco Nadi Thaqafah dan diiringi oleh 2 orang pegawai pengiring.

Antara objektif program ini adalah memperkenalkan nama USIM di peringkat antarabangsa dan mengeratkan hubungan di antara pelajar USIM dengan pelajar di universiti sekitar Acheh, antaranya UIN Ar-Raniry. Selain itu, kembara ini membuka peluang kepada para peserta untuk bertukar idea dan pandangan berkaitan integriti mahasiswa serta menggalakkan aktiviti perbincangan di antara pelajar USIM dengan pelajar universiti di sana. Selain itu, program ini dapat melahirkan mahasiswa yang berilmu, berketerampilan, berakhlak, berwawasan serta berdaya saing di dalam semua bidang.

Menurut Pengarah Kembara Kemasyarakatan Ke Bumi Aceh, Muhammad Amirul Syahid Bin Jumal program libatsama masyarakat di Acheh yang julung kalinya dianjurkan oleh Nadi Thaqafah ini telah mencapai objektifnya apabila kerjasama dan penglibatan peserta GISO bersama mahasiswa di UIN Raniry dan Universitas Syiah Kuala selain penduduk kampung berjalan seperti yang dirancang.

Tambah beliau lagi: “Objektif program ini telah dicapai memandangkan aktiviti utama seperti lawatan rasmi ke university dan libatsama masyarakat bersama penduduk kampong serta anak yatim berjalan seperti yang dirancang.”

Beberapa aktiviti telah dirancang sepanjang program seperti gotong-royong membaikpulih fasiliti di Kampung Ajee Cut Nyak Dhien di samping menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin di sana. Sumbangan yang disampaikan adalah berupa wang tunai, beras, pakaian, barangan persekolahan dan sebagainya. Seterusnya peserta juga berpeluang mengajar modul bahasa Arab kepada 250 orang anak yatim melalui aktiviti libatsama masyarakat di Rumah Anak Yatim Dayah Nurul Huda. Di samping itu jua, para peserta GISO juga berkesempatan untuk mengadakan lawatan sambil belajar di tempat-tempat bersejarah di Acheh dan mengambil ibrah daripada kesan bencana Tsunami 2004.

Disediakan oleh:

Mohd Ghazi Faris Bin Abd Mutalib, Timbalan Setiausaha

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204