NILAI– Kolaborasi strategik antara Access Ideas (M) Sdn Bhd (AIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus membuahkan hasil apabila Program Training of Trainer (TOT) Qalbu Memimpin Insan berjaya dilaksanakan pada 6 Ogos 2025 baru-baru ini.
Inisiatif ini memberi nafas baharu dalam pembangunan latihan berteraskan nilai dengan menumpukan kepada pemerkasaan jurulatih melalui kemahiran fasilitasi lanjutan dan pendekatan kepimpinan berlandaskan qalbu.
Program ini merupakan antara inisiatif awal hasil pelaksanaan Surat Niat (Letter of Intent – LOI) yang dimeterai antara AIM dan Jabatan Pendaftar USIM. LOI tersebut membuka ruang kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk latihan, pembangunan modul, serta pelaksanaan projek-projek pembangunan insan yang memberi manfaat besar kepada warga USIM khususnya para jurulatih dan pelajar.
Menurut Encik Muhammad Rahmat Abdullah Ketua Bahagian, Pembangunan Sumber Manusia berkata, modul ini dirangka khusus untuk melatih jurulatih dalaman yang bukan sahaja kompeten dari segi penyampaian tetapi juga mampu menjadi teladan dalam memimpin masyarakat melalui pendekatan berteraskan nilai Islam. Program ini memberi pendedahan kepada prinsip andragogi, di samping menggabungkan elemen kemahiran teknikal dan pembinaan sahsiah diri.
“Para peserta mempelajari prinsip asas fasilitasi berkesan, teknik komunikasi interaktif dan kaedah penyampaian yang menarik. Nilai-nilai teras seorang jurulatih seperti integriti, empati dan tanggungjawab sosial turut menjadi fokus utama bagi membentuk personaliti jurulatih yang holistik”.
“Selain itu, peserta didedahkan kepada teknik pembangunan modul latihan secara tersusun dan bersesuaian dengan keperluan audiens. Peserta diberi pendedahan mengenai kaedah menggubal objektif pembelajaran, penggunaan bahan visual dan pengadaptasian kandungan untuk pelbagai latar belakang peserta. Aktiviti role-play dan peer review turut diadakan bagi memperkukuhkan kemahiran penyampaian”, ujarnya lagi.
Diharapkan Program TOT ini bukan sahaja berjaya melahirkan jurulatih yang profesional dan kompeten, malah menyemarakkan budaya kepimpinan berteraskan rohani, nilai dan akhlak mulia selaras dengan aspirasi USIM untuk membangunkan modal insan cemerlang yang seimbang dari segi intelektual, spiritual dan sahsiah.
Oleh: Sharifah Norabidzah Nurul Aida Syed Saaid