SHAH ALAM – Ke Arah menjalinkan kerjasama erat dan memperkukuhkan penjenamaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) khususnya, satu lawatan kunjungan mesra telah diadakan pada 23 Oktober 2013 antara StraComm dan Media Karangkraf Sdn Bhd yang telah diketuai oleh Pengarah StraComm Professor Dr Musa Abu Hassan.

Media ialah satu medan perantaraan penting dalam menyebarkan sesuatu informasi atau berita kepada masyarakat dan pengaruhnya sangat luas meliputi seluruh aspek. Oleh yang demikian, StraComm telah mengambil pendekatan yang progesif untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat bersama media karangkraf bagi menerokai peluang yang ada dalam bidang penulisan khususnya.

Kunjungan kami disambut baik oleh Dato’ Dr Hussamuddin Bin Hj Yaacub, Pengarah Urusan CEO Kumpulan, En Hashim Anang, Pengurus (Tugas-Tugas Khas) dan Puan Ida Abd Aziz, Ketua PR & Komunikasi Korporat. Kami diberi taklimat tentang syarikat sebelum meneruskan lawatan ke bahagian percetakan, grafik dan studio. Difahamkan Karangkraf satu-satunya syarikat yang mencetak bahan penerbitan sendiri iaitu di bawah nama Ultimate Printing yang merupakan satu nama besar dalam industri percetakan di Malaysia.

Secara umumnya, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd diasaskan oleh  Dato’ Dr Hussamuddin Bin Hj Yaacub yang mempunyai empat (4) kumpulan utama iaitu grupmajalah, grupbuku, grupsinar dan gruppercetakan.

Penerbitan Karangkraf merangkumi semua aspek bukan sahaja dari segi pendidikan malah terdiri daripada perhiasan, fesyen, karya Novel dan masakan yang sesuai untuk semua kelompok masyarakat. Golongan pelajar tidak dilupakan yang mana keperluan mereka dipenuhi melalui penerbitan majalah Fokus SPM, e-Baca, dan PC. Bahan ilmiah dan rujukan bagi golongan dewasa merangkumi Majalah Mingguan Wanita, Keluarga, Dara, Nur, Hijabista, Rasa, MIDI dan Maskulin. Dari segi perhiasan rumah, Karangkraf menerbitkan majalah Apartment, Impiana, dan Laman yang memenuhi citarasa dan minat masyarakat Malaysia terutamanya.

Pengarah StraComm Professor Dr Musa Abu Hassan melahirkan rasa bangga atas kunjungan ini kerana dapat saling bertukar idea dan berharap dapat bekerjasama dalam program-program antara kedua belah pihak yang bakal diadakan kelak. Kunjungan seperti ini baik untuk kita lakukan secara berkala supaya ruang-ruang kerjasama yang ada dapat diisi dengan sepenuhnya. “USIM mempunyai ramai pakar akademik dalam pelbagai bidang dan kreativiti yang tinggi untuk diketengahkan,” tambahnya lagi.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm