NILAI – Kor SUKSIS Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dengan kerjasama pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, telah berjaya melaksanakan Program Latihan Menembak Senjata Api Revolver .38.
Program tahunan ini merupakan salah satu aktiviti utama bagi para pelatih Kor SUKSIS USIM dan telah berlangsung dengan jayanya selama sehari. Seramai 202 orang pelatih telah mengambil bahagian dalam latihan ini tanpa sebarang kekangan, dan tiada insiden kecederaan dilaporkan sepanjang program berlangsung.
Latihan menembak ini telah diadakan pada 17 Mei 2025 di Lapang Sasar Terbuka, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. Turut hadir dalam program ini ialah SUPT/KS Dr. Hisham Sabri, Timbalan Komandan Kor SUKSIS USIM; ASP Sharifah Noorula’ain binti Syed Salim, Pegawai JPJKK IPK Negeri Sembilan merangkap Pegawai Lapang Sasar; enam orang jurulatih dari Kor SUKSIS USIM; serta 13 orang jurulatih dari Unit Persenjataan (AMRA), IPK Negeri Sembilan.
Kor SUKSIS USIM merupakan salah satu kursus Kokurikulum Berkredit di bawah Teras Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah. Para pelatih dilatih mengikut silibus yang telah diselaraskan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman untuk semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dengan matlamat untuk melahirkan pelatih yang berkemahiran dan berdisiplin tinggi.
Kor SUKSIS USIM juga berhasrat untuk meneruskan pelaksanaan Modul Latihan Menembak Revolver .38 bagi Skuad 17, 18 dan 19 seperti yang telah dijadualkan dalam perancangan tahunan semester ini. Latihan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pelatih, malah turut mengasah nilai disiplin dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pegawai pelatih.
Program ini memberi pendedahan penting kepada pelatih berkaitan penggunaan senjata api termasuk teknik, data serta peraturan keselamatan yang perlu dipatuhi. Di samping itu, latihan ini juga bertujuan memupuk semangat kerjasama, dedikasi, akauntabiliti, serta daya saing yang tinggi dalam kalangan pelatih. Penekanan turut diberikan kepada pembentukan disiplin diri dan pematuhan terhadap arahan sepanjang latihan berlangsung, di samping memperkukuh semangat berpasukan dan tolong-menolong.
Latihan dimulakan dengan pergerakan pelatih dari USIM ke lokasi latihan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. Sebelum latihan dimulakan, pelatih diberi taklimat ulang kaji mengenai langkah-langkah keselamatan dan prosedur pelaksanaan latihan bagi memastikan program berjalan lancar dan selamat.
Program diakhiri dengan Majlis Penyampaian Hadiah yang telah disempurnakan oleh SUPT/KS Dr. Hisham Sabri sebagai simbol penghargaan terhadap usaha dan pencapaian semua pihak yang terlibat.
“Tahniah diucapkan kepada semua pelatih yang telah menjalani Latihan Menembak Tahunan Senjata Api Revolver .38 Kor SUKSIS USIM dengan penuh komitmen dan disiplin. Latihan ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai teknik dan keselamatan penggunaan senjata api, tetapi juga berjaya memupuk semangat kerjasama dan akauntabiliti dalam kalangan pelatih.”, ujar Inspektor Jaslin Mian
“Saya amat berbangga melihat semua pelatih mematuhi peraturan keselamatan dengan serius kerana aspek keselamatan adalah amat penting dalam latihan seperti ini. Semoga pengalaman ini dapat membentuk jati diri, disiplin dan persediaan diri dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Teruskan usaha gigih ini dan semoga ia membawa manfaat sepanjang perjalanan anda sebagai pelatih Kor SUKSIS USIM.”ujarnya lagi.
Oleh: Khairuddin Hafizi John Adam