NILAI – Kira-kira lebih 3,000 warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhimpun di Kompleks Islam Tuanku Mukriz USIM sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin bersempena penganjuran Forum Palestin: ‘Masa Untuk Kebangkitan’ yang barisi oleh panel selebriti Heliza Helmi bersama adiknya Hazwani Helmi yang juga dikenali sebagai The Helmis, serta Ketua Aktivitis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, iaitu Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby baru-baru ini.

Program anjuran Malaysian Consultative Council of Islamic Organization (MAPIM) dengan kerjasama USIM ‘Alamiyyah dan Pusat Islam ini mendapat sambutan dan sokongan hebat dengan kehadiran mahasiswa serta masyarakat sekitar untuk mendapat kesedaran dan semangat menyebarkan tindak tanduk kekejaman zinonist di negara palestin.

Heliza menyeru agar semua anak muda khususnya mahasiswa yang berada di kompleks pada malam ini untuk menggunakan media sosial masing-masing untuk sama-sama menyebarkan fakta tentang isu Palestin dengan sahih serta perbanyakkan doa untuk kemenangan dan kesejahteraan umat Islam di Palestin.

Dr. Fauziah Hasan Pengarah USIM ‘Alamiyyah yang turut hadir hadir pada malam itu berkata, USIM mempunyai 24 Alumni dari Palestin, 178 pelajar aktif dan 3 pensyarah yang berasal daripada Palestin. Justeru, dalam usaha membantu alumni, pelajar dan staf, serta ahli keluarga masing-masing yang terkesan teruk akibat serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza, USIM melancarkan Kempen Prihatin Palestin melalui Tabung Prihatin USIM yang diuruskan oleh Pusat Wakaf dan Zakat USIM.

Ujarnya lagi, melalui tabung ini, warga USIM dan orang ramai berpeluang untuk menyumbang bagi tujuan menampung keperluan mendesak seperti bantuan perubatan, peralatan hospital, tempat perlindungan dan makanan untuk membantu rakyat Palestin dari kalangan alumni, pelajar dan Staf USIM. Sama-sama kita membantu rakyat Palestin dalam kalangan warga USIM dan keluarga masing-masing yang kini sedang terhimpit dalam kemelut konflik dan krisis kemanusiaan menerusi Tabung #USIMPrihatin.