NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Perpisahan “Jasamu Dikenang” bagi meraikan Sjn Mohd Hafez bin Mat Saat yang bakal menamatkan perkhidmatan selepas 21 tahun menabur bakti dalam Angkatan Tentera Malaysia, khususnya dalam Rejimen Artileri Diraja.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh penghargaan ini menghimpunkan barisan Timbalan Komandan, Ketua Jurulatih, Pegawai Tetap dan Setiausaha Urus Setia (SUK), anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta Pegawai Kadet PALAPES USIM Batch 45. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pendaftar Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Puan Norrufilzah Shahari selaku wakil rasmi PPKI.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Sjn Ku Mohd Ridzuan bin Ku Bahari daripada Kor Armor Diraja bersama keluarga yang telah menyelesaikan kursus di PERHEBAT selepas 21 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan.

Penganjuran majlis ini bertujuan menghargai jasa dan sumbangan anggota yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan disiplin, memupuk nilai setiakawan, hormat dan penghargaan dalam kalangan warga pasukan serta Pegawai Kadet, selain menyemai budaya mengenang jasa sebagai sebahagian daripada pembentukan sahsiah dan nilai keperwiraan dalam organisasi ketenteraan.

Untuk makluman, Sjn Mohd Hafez bin Mat Saat akan mula bercuti pada 24 Disember 2025 sebelum melaporkan diri ke PERHEBAT bagi mengikuti kursus persediaan peralihan sebelum menamatkan perkhidmatan. Sebagai tanda penghargaan, beliau telah menerima Sijil Penghargaan daripada USIM yang disampaikan oleh Timbalan Komandan, selain cenderahati daripada PALAPES USIM sebagai kenangan.

Penganjuran majlis ini adalah selari dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24, khususnya dalam memperkukuh Sahsiah Keperwiraan (Warrior Ethos) melalui amalan menghargai jasa, kesetiaan kepada perkhidmatan serta pembentukan nilai hormat, integriti dan setiakawan sebagai teras pembangunan modal insan dalam Tentera Darat Malaysia.