Lombok Utara, Isnin 5 November 2018. Ketika ramai bantuan kemanusiaan mangsa gempa dan Tsunami diberikan kepada lokasi terjejas baru-baru ini di Sulawesi Tengah, tidak dilupakan juga mangsa gempa di Lombok yang masih dalam kondisi perlu huluran bantuan bagi membaik pulih keadaan ekoran gempa kuat pada bulan Ogos tahun ini.

Bagi turut serta meringankan beban masyarakat Lombok, pasukan misi kemanusiaan yang diterajui oleh 12 orang pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM bekerjasama dengan Aman Palestin Indonesia serta Universitas Muhammadiyah Mataram telah turut serta menghulurkan bantuan persekolahan kepada beberapa sekolah dan pondok-pondok pesantren terjejas gempa di wilayah Lombok Utara.

“Misi kemanusiaan Malaysia Peduli Lombok 2018 yang dijalankan pada 5-6 November ini adalah bentuk keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa terpanggil bagi membantu saudara-saudara di negeri jiran yang memerlukan huluran tangan kita. Meskipun dengan jumlah bantuan yang tidak banyak, tetapi kedatangan kami untuk silaturrahim dan melihat keadaan mangsa terjejas di sana dapat menaikkan semangat mereka untuk tabah menghadapi ujian serta bangkit meneruskan kehidupan seperti biasa.” jelas Dr Mohd Faisal Mohamed ketua misi yang juga pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM.

Sebagai sebuah universiti yang perihatin, USIM adalah salah satu universiti awam yang terus aktif menggalakkan para pensyarah dan pelajarnya mengadakan misi-misi kemanusiaan dan program khidmat masyarakat di dalam mahupun luar negara menerusi program Global Islamic Student Outreach (GISO) dan Lawatan Antarabangsa (LA). Sejak dilancarkan pada 2011, sehingga 2016 sebanyak 156 pengembaraan GISO telah dijalankan dengan penjelajahan ke lebih 20 buah negara yang melibatkan keseluruhan 3181 pelajar.

Amat wajar bagi kita sentiasa membudayakan sikap ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ di dalam diri masing-masing. Batasan geografi tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk misi bantuan kemanusiaan ini. Bantuan yang diberikan ini bukanlah untuk meminta balasan atau ganjaran, sebaliknya membantu atas dasar kemanusiaan sekaligus menginsafi diri bahawa kita perlu sentiasa bersyukur kerana terselamat daripada bencana alam ini.

Kesimpulannya, misi kemanusiaan yang penuh bermakna ini telah berjaya mengagihkan bantuan berupa alat-alat sekolah dan bantuan tunai kepada beberapa sekolah tadika, rendah dan menengah, serta pondok-pondok pesantren di Lombok Utara khasnya di dusun Pandanan dan Kayangan. Semoga khidmat bakti yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan memberi sedikit kelegaan kepada mangsa gempa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan seharian mereka seperti sediakala.