NILAI – 67 badan pelajar berdaftar telah menyertai Akademi Kepimpinan Mahasiswa dan Pengukuhan Badan Pelajar yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP).
Penganjuran program ini bertujuan menyelaraskan gerak kerja serta memperkukuh hala tuju kepimpinan mahasiswa yang merangkumi pelbagai latar belakang persatuan. Inisiatif ini sekali gus membentuk ekosistem kepimpinan pelajar yang lebih tersusun, berintegriti dan berorientasikan impak.
Naib Yang Dipertua I Majlis Perwakilan Pelajar USIM merangkap Pengarah Program, saudara Muhammad Danish Suhailey, berkata penglibatan menyeluruh semua badan pelajar mencerminkan komitmen tinggi mahasiswa untuk bergerak dalam satu kerangka kepimpinan yang jelas dan bersepadu.
“Kepimpinan mahasiswa tidak boleh digerakkan secara bersendirian. Ia perlu dibina atas kesatuan fikrah, pemerkasaan nilai integriti serta tindakan kolektif yang selari dengan moto ‘Aspirasi Mahasiswa, Manifestasi Bersama’,” ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa akademi ini bukan sekadar platform latihan kepimpinan, malah berperanan sebagai medium penyelarasan peranan dan pemahaman antara badan pelajar agar setiap organisasi mampu melaksanakan amanah dengan lebih berkesan dan profesional.
“Apabila melibatkan 67 badan pelajar, cabaran utama adalah memastikan setiap organisasi bergerak seiring dalam satu hala tuju yang sama. Akademi ini diwujudkan untuk menyatukan pemikiran, memperkukuh tadbir urus serta membina kepimpinan mahasiswa yang lebih matang, berdaya saing dan bertanggungjawab,” tambah beliau.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, yang menegaskan bahawa kepimpinan mahasiswa merupakan satu amanah besar yang menuntut kejujuran, kebijaksanaan serta keadilan dalam setiap tindakan.
Menurut beliau, penganjuran akademi ini selari dengan hala tuju pembangunan mahasiswa USIM yang menekankan kesejahteraan menyeluruh, pengalaman mahasiswa berkualiti, pembangunan kepimpinan dan daya saing profesional, di samping memastikan keselamatan serta keterangkuman dalam ekosistem kampus.
Akademi Kepimpinan Mahasiswa dan Pengukuhan Badan Pelajar ini diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan barisan pemimpin mahasiswa USIM yang bersatu, berfikiran kritis dan berwawasan, serta mampu menterjemahkan aspirasi mahasiswa kepada tindakan strategik yang memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.
Oleh: Puteri Nurrul Zuhaffiza Zuhari

