KEMBOJA, 14 DIS 2016 – Seramai 22 orang mahasiswa dari Kelab Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama pegawai pengiring, Puan Kartina Kamaruzzaman berada di Kemboja dan Vietnam baru-baru ini untuk menyelami masyarakat Islam di sana. Ziarah yang bermula pada 9 hingga 14 Disember 2016 ini diketuai oleh Pengarah Program, Saudara Muhammad Azim bin Md. Fazli Nor.
Kembara Integrasi Naqli dan Aqli ini memfokuskan pengembaraan mereka dengan menjelajahi Kemboja iaitu ke kawasan majoriti Islam di Daerah Chhnang dan sekitarnya bagi mengenali gaya kehidupan dan persekitaran yang merupakan kawasan tumpuan golongan Muslim di Kemboja. Terdapat dua kampung yang menjadi lokasi ziarah untuk menjalankan program khidmat komuniti mereka iaitu Kampung Pritpih dan Kampung Pakwabong.
“Di Kampung Pritpih, kami memilih Madrasah Tarbiyatul Tullab sebagai kawan program kami disini kerana sekolah ini berdekatan dengan masjid dan merupakan kawasan tumpuan masyarakat di kampung ini. Delegasi peserta menjalankan aktiviti celik Bahasa Arab bersama kanak-kanak sekitar umur 7-15 tahun. Kanak-kanak ini didedahkan dengan ilmu asas Bahasa Arab dan bengkel tahsin solat, seperti memeriksa bacaan di dalam solat dan wudhuk”
“Pelajar USIM turut menyiapkan kerja-kerja memasang pam air disebuah klinik yang terdapat di kampong tersebut. Sebanyak 10 buah pam air telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia kepada kampung ini. Kawasan klinik ini dipilih sebagai tempat untuk diletakkan sumbangan pam air kerana klinik ini akan beroperasi dua kali seminggu selain faktor muka bumi (tanah) yang memudahkan kerja-kerja pemasangan pam air.” Ujar Muhammad Azim
Pada hari yang lain di Kampung Pakwabong pula, para delegasi bersama-sama penduduk kampong meraikan antara hari yang sangat bermakna bagi semua umat Islam iaitu Hari Maulidurrasul. Suasana sambutan yang sangat meriah di sini menjadi satu kenangan terindah kepada delegasi ini kerana walaupun berada dalam serba dhaif, mereka tetamu memuliakan dan meraikan tetamu (kami) sebagaimana di ajar oleh Rasulullah SAW. Delegasi Integrasi Naqli dan Aqli turut menyumbang seekor lembu untuk disembelih dan dimasak sebagai juadah makan tengah hari bersama-sama penduduk kampung.
Seramai 100 buah keluarga yang kurang berkemampuan di Kampung Pakwabong turut menerima sumbangan berupa pek makanan, pakaian persekolahan,dan pakaian harian. Terpancar di raut wajah mereka senyuman kegembiraan menerima sumbangan tersebut.
Khidmat bakti delegasi bukan terhenti pada perkongsian ilmiah sahaja dan fizikal sahaja, malah turut menyumbangkan sumbangan berbentuk material untuk memenuhi keperluan ibadah masyarakat muslim disana seperti sumbangan al-Quran wakaf sempena Projek Wakaf Sejuta Al-Quran,
Menurut Puan Kartina Kamaruzzaman selaku pegawai pengiring delegasi pengembaraan ini, Kemboja merupakan salah satu tempat yang didiami oleh sejumlah majoriti masyarakat Islam yang serba kekurangan. Dikedua-dua kampung ini misalnya, mereka berdepan dengan masalah untuk mendapatkan air bersih dan dan bekalan eletrik yang sangat terhad selain bangunan sekolah dan madrasah tahfiz yang uzur. Ia satu muhasabah kepada para pelajar USIM untuk bersyukur dengan keselesaan dan kemudahan yang serba-serbi lengkap di negara sendiri.
Disediakan oleh:
Urusetia Kembara Integrasi Naqli dan Aqli 2016 Nadi Thaqafah
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204