OSAKA – “Gugur air mata apabila saya diberikan peluang dan penghormatan oleh Japan Dakwah Centre (JDC) di Osaka untuk mengislamkan dua orang saudara baharu yang telah melafazkan syahadah untuk memeluk agama Islam.”

Itu lah kata-kata yang diucapkan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM atas peluang yang diberikan untuk mengislamkan 2 orang warga jepun iaitu Saudara Hajime Nasu dan Saudara Yusuke Hori.

Dalam ciapan Facebook beliau, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata nilai universal budaya Jepun yang selari dengan nilai yang diterapkan Islam seperti saling menghormati, tolong-menolong, menjaga kebersihan, dan bersopan santun menjadi asas dalam memperkukuh dakwah Islam di Jepun.

“Saya amat mengagumi inisiatif dan usaha Tuan Haji Zulkarnain Hasan Basri, Pengasas JDC serta Pengerusi Japan Muslim Foundation yang giat berdakwah dan memperkenalkan Islam melalui budaya Jepun di bumi Sakura ini,” ujarnya lagi.

Dalam lawatan rasmi beliau ke Jepun pelbagai rundingan dan perbincangan lain antara USIM dengan JDC antaranya adalah penghantaran pelajar USIM untuk menjadi imam solat tarawih di JDC sepanjang bulan Ramadan, kajian agama dan budaya Jepun yang diberikan geran penyelidikan oleh JDC, program mobiliti pelajar dan latihan industri pelajar USIM di JDC Osaka.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut berpeluang menyampaikan ceramah ringkas berkaitan makanan halal dalam talian secara langsung dari JDC, Osaka kepada komuniti Jepun yang ingin memahami Islam.

Naib Canselor USIM juga berkesempatan bertemu dengan kumpulan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi Akademik 2022/2023 yang menjalani program GISO di Osaka dengan kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) selama seminggu.

 

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani