PUTRAJAYA – Membina nama di pentas bukannya mudah, langkah besarnya sering bermain dengan pasang surut kekalahan juga kegagalan, namun semangat juang tinggi tidak pernah menghentikan langkahnya untuk berdiri dan membuktikan bakat anugerah Ilahi.
“Sahabat terbaik dalam membina kematangan adalah ilmu dan pengalaman yang disulam dengan adab yang tinggi. Setiap keputusan yang dipilih ada risiko tersendiri, namun kita harus yakin bahawa akan ada yang terbaik buat mereka yang bersabar.” Itulah prinsip hidup Najmi Adli Mustaffa, 26, anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan yang menjadikan seni sastera dan pengucapan awam sebagai nadi perjuangan dirinya sepanjang bergelar pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Hasil usaha keras dan tidak mengenal erti putus asa akhirnya membawa kejayaan besar apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seni Warisan Siswa (Anugerah Tokoh Siswa Negara-ATSN) 2025, merupakan sebuah anugerah berprestij di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyoroti bakat dan sumbangan pelajar dalam bidang seni. ATSN 2025 telah menerima sebanyak 246 pencalonan dari semua IPT dan menyaksikan seramai 75 calon telah berjaya ke peringkat akhir bagi merebut 17 anugerah yang dipertandingkan yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya pada 1 Oktober 2025 baru-baru ini.
Penyampaian anugerah Anugerah Tokoh Seni Warisan Siswa telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim Ketua Setiausaha KPT. Kesemua anugerah berprestij ini yang telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini bukan sahaja aktif dalam bidang seni, bahkan turut menyerlah dalam akademik apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Komunikasi peringkat fakulti. Bagi Najmi, melibatkan diri dan bergiat aktif dalam berpersatuan tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab hakiki dalam pengajian akademik, malah kedua-duanya saling melengkapi untuk membentuk keseimbangan peribadi dan sahsiah pelajar unggul.
“Kita bukan kalah, tapi belum menang.” Inilah ungkapan yang dipahatkan dalam dirinya sebagai perangsang semangat dan usaha untuk terus mencapai titik terbaik pencapaian dalam apa jua yang diceburi. Najmi bertekad untuk tidak mengampakan harapan ibu dan adik beradiknya kerana beliau percaya bahawa ilmu dan pengalaman akan membina graf kematangan seseorang pelajar dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran.
Mewarisi bakat pengucapan awam dari arwah ayahnya serta sokongan penuh dari ibu serta keluarga, minatnya mendalam terhadap dunia puisi, debat, pidato dan pengacaraan membawanya ke pentas di pelbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama USIM. Beliau turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM yang aktif menganjurkan pelbagai program kesenian seperti Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) dan bengkel kreatif kepada pelajar. Selain itu, Najmi turut menyumbang kepakaran serta pengalaman sebagai pembimbing puisi dan pidato sektor kakitangan awam.
Baginya, sokongan sistem yang positif dan kukuh dari pelbagai pihak termasuk universiti amat penting bagi memberi daya keyakinan kepada pelajar untuk terus berkarya, berinovasi dan mencipta kejayaan.
“Bagi saya, seni dan manusia berpisah tiada. Seni bukan sekadar menghidupkan rasa, tetapi membangkitkan jiwa dan nilai manusia,” ujar Najmi yang melihat bidang seni sebagai ruang menyuburkan bakat serta platform berkongsi rasa dengan masyarakat. Sebelum ini, beliau turut menerima Anugerah Tokoh Kecemerlangan Siswa (AKSIS) USIM 2024, mengukuhkan lagi kedudukan beliau sebagai ikon seni pelajar universiti.
Pernah menyandang gelaran johan Sayembara Deklamasi Puisi Negeri Sembilan, naib johan Deklamasi Puisi Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FestKUM) tahun 2022 dan terkini merangkul anugerah lima finalis terbaik dalam Sayembara Dekalamasi Puisi Kemerdekaan kali ke-39 peringkat Kebangsaan. Amat bersyukur atas bakat yang dikurniakan, Najmi tetap menanam minat ingin memahatkan nama sebagai deklamator tanah air berwibawa dan mempunyai stail tersendiri.
Bercita-cita untuk bergelar sebagai wartawan suatu hari nanti, Najmi Adli merupakan ikon alma mater yang menjunjung tinggi nilai ilmu, adab dan kepimpinan dan menjadikan seni bukan sekadar wadah ekspresi, tetapi perjuangan untuk memartabatkan insan. Kemenangannya di pentas KPT sekali lagi memahatkan nama USIM dalam mencorakkan insan yang berjiwa seni mengikut citra USIM sekali gus memecah dominasi sebagai universiti Islam mengangkat seni budaya berteraskan ilmu Naqli dan Aqli.
Oleh: Rozihani Mohamad
