NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah menganjurkan Majlis Syarahan Perdana Profesor FPSK yang disampaikan oleh Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar bertajuk “A Critical Review of Gender Ideology from Human Physiological and Islamic Perspectives” bertempat di Auditorium FPSK, USIM.
Majlis ini menjadi platform akademik penting bagi memberi ruang kepada tokoh profesor universiti berkongsi kepakaran, dapatan penyelidikan serta pandangan ilmiah terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan bidang kepakaran masing-masing. Program tersebut telah dihadiri kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada jemputan khas, ahli akademik, pegawai universiti, pelajar serta orang awam.
Dalam ucapan Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menyatakan bahawa majlis syarahan perdana bukan sekadar meraikan kesarjanaan seorang profesor, malah merupakan pengiktirafan terhadap perjalanan ilmu, penyelidikan, advokasi dan khidmat kemanusiaan yang panjang dalam dunia akademik.
Ia juga mencerminkan aspirasi USIM untuk terus memperkukuh integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam pembangunan masyarakat dan tamadun. Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar yang telah berkhidmat di FPSK sejak April 2010 merupakan seorang sarjana dalam bidang fisiologi, dengan tumpuan khusus kepada fisiologi gender serta dimensi biopsikososial dan spiritual dalam kesihatan.
Beliau memperoleh ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Kesihatan (Fisiologi) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2007, selain pernah menerima pengiktirafan sebagai Pelajar PhD Terbaik Kulliyyah Perubatan UIAM.
Dalam syarahan beliau, Prof. Dr. Rafidah Hanim membentangkan analisis kritikal berkaitan ideologi gender dengan menggabungkan perspektif fisiologi manusia dan kerangka pemikiran Islam, sekali gus menampilkan pendekatan yang bersepadu antara ilmu sains dan nilai-nilai keilmuan Islam. Pembentangan tersebut turut mengetengahkan hasil penyelidikan beliau yang memberi penekanan terhadap kefahaman saintifik serta implikasinya terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.
Selain aktif dalam penyelidikan, beliau turut menyumbang dalam pembangunan dasar dan advokasi kesihatan melalui penglibatan sebagai panel pakar kepada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan isu kesihatan gender serta orientasi seksual.
Kepakaran beliau turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui pelantikan sebagai Visiting Professor di ASEAN Centre, Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), Rusia serta penglibatan dalam pelbagai persidangan global. Selain sesi syarahan, majlis turut melancarkan buku MyGift yang mengandungi 6 siri berkisahkan tentang identiti gender dan orientasi seksual.
Penganjuran syarahan perdana ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuh budaya kecemerlangan akademik, penyelidikan dan perkongsian ilmu, selaras dengan peranan universiti sebagai institusi yang memacu pembangunan ilmu dan kesejahteraan masyarakat.


