NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Sains Islam Malaysia (PALAPES USIM) telah melaksanakan Audit Dokumentasi Tahunan Tahun 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia. Audit ini merupakan sebahagian daripada mekanisme kawalan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan pengurusan rekod dan dokumentasi pasukan dilaksanakan secara sistematik, teratur serta mematuhi peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan.
Audit dokumentasi ini telah dijalankan oleh Tim Inspektorat Dokumentasi Jabatan Arah Rekod dan Pencen ATM yang diketuai oleh Mejar Rodziyati binti Mustapha, PS 2 ID dan Dasar bersama ahli-ahli tim pemeriksa. Kehadiran tim audit ini mencerminkan komitmen ATM dalam memastikan aspek tadbir urus, pematuhan prosedur serta integriti dokumentasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pelaksanaan audit dimulakan dengan ketibaan Tim Pemeriksa diikuti sesi taklimat pembukaan yang memberikan gambaran menyeluruh berkaitan struktur pengurusan dokumentasi PALAPES USIM melibatkan anggota tetap, anggota sukarela serta pegawai kadet, selain kaedah penyimpanan rekod yang diguna pakai. Pemeriksaan dokumen seterusnya dijalankan secara terperinci melibatkan fail-fail pentadbiran, fail peribadi anggota serta dokumen sokongan lain yang berkaitan.
Tim audit turut melaksanakan pemeriksaan ke atas bilik dokumentasi bagi menilai aspek keselamatan, susun atur, pelabelan serta tahap pematuhan terhadap piawaian penyimpanan rekod yang ditetapkan oleh ATM.
Pelaksanaan audit diakhiri dengan sesi taklimat penutup, di mana Tim Inspektorat Dokumentasi telah menyampaikan dapatan awal, ulasan serta cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap pengurusan dokumentasi PALAPES USIM pada masa hadapan. Sesi menandatangani buku lawatan dan sesi bergambar turut diadakan sebagai simbol penutup rasmi Audit Dokumentasi Tahunan PALAPES USIM Tahun 2026.
Audit ini dilaksanakan selaras dengan Objektif Kedua Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24, iaitu Kemampanan Organisasi bagi memperkukuh sumber manusia serta tadbir urus yang cekap dan efisien, yang menekankan kepentingan disiplin pentadbiran, ketepatan rekod serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan pasukan. Dokumentasi yang teratur bukan sahaja menjadi bukti pelaksanaan tugas, malah mencerminkan profesionalisme dan kecekapan sesebuah pasukan dalam menyokong keberkesanan pengurusan keseluruhan.
Selain itu, pelaksanaan audit ini turut mendokong Teras Keempat Amanat Naib Canselor USIM, iaitu ekosistem pembolehdaya dan pembangunan bakat bagi melahirkan warga USIM yang kompeten dan berintegriti, yang menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik, ketelusan serta pematuhan terhadap peraturan dalam semua aspek pengurusan universiti.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan audit ini telah berjalan dengan lancar dan teratur. PALAPES USIM komited untuk terus menambah baik sistem pengurusan dokumentasi selaras dengan kehendak ATM serta aspirasi universiti demi memastikan kecemerlangan pentadbiran dan kelangsungan latihan yang mampan.

