NILAI – Sepasang kembar Aida Farisah Ahyat (kakak) dan Aida Fasihah Ahyat (Adik), 24, dari program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) DPPPI, Fakulti Pengajian Bahasa Utama gembira dapat raikan konvo bersama di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pasangan kembar seiras yang berasal dari Pekan, Pahang tersebut sebelum ini memegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (Kepujian) juga dari USIM.
Sejak kecil mereka sentiasa bersama dan tidak pernah berpisah malah dari segi makanan kegemaran, pemilihan gaya pakaian dan tempat belajar juga sama. Bukan itu sahaja, mereka juga pernah menerima anugerah kecemerlangan yang sama ketika menuntut di Maahad Tahfiz Jengka, Pahang.
“Kami tidak pernah berenggang, kalau renggang pun apabila masing-masing mula bekerja” ucap Farisah. Menurutnya, Fasihah menjalani latihan industri di Kajang, manakala beliau di Sekolah Menengah Kebangsaan Putri, Seremban sebagai guru pelatih.
Hasrat untuk mengambil Diploma Pascasiswazah Pendidikan ini adalah inspirasi dari ibu mereka yang juga merupakan seorang guru. “Kami berharap untuk menjadi seorang pendidik yang berdedikasi dan boleh membimbing generasi kini menjadi insan yang berguna” Ujarnya lagi.
Sementara itu, Fasihah berkata, apa yang membezakan mereka hanyalah dari segi hobi di mana beliau meminati sukan memanah manakala kakaknya meminati sukan bola jaring.
Nur Alyaa Safiah Aziz
StraComm Clique
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan