NILAI – Sejarah baharu tercipta di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila Timbalan Komandan PALAPES USIM, Rozaimi Kamarudin, 42, menjadi individu pertama dalam PALAPES USIM yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel (Sukarela) Tentera Darat Malaysia. Majlis Pemakaian Pangkat ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain Jantan bertempat di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 31 Oktober 2025.

Kenaikan pangkat ini dikurniakan atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, melalui Syor Majlis Angkatan Tentera Bil. 630 yang bersidang pada 8 Oktober 2025.

Anak jati Bagan Serai, Perak ini menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2003 dan menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2009. Beliau mula berkhidmat di USIM pada 8 November 2006, dan sejak itu tidak pernah berpaling dari misi utama iaitu berbakti kepada agama, bangsa, dan negara.

Bagi Leftenan Kolonel Rozaimi, perjuangan sebenar bermula apabila beliau bertekad menubuhkan PALAPES di USIM. Usaha yang bukan mudah itu bermula sebagai cadangan penubuhan pada tahun 2009, bergabung sementara dengan PALAPES UKM, dan akhirnya, selepas tujuh tahun kerja keras tanpa mengenal jemu, PALAPES USIM secara rasmi ditubuhkan pada tahun 2016.

Hari ini, ratusan pelajar USIM telah mendapat manfaat daripada wadah kepimpinan dan latihan ketenteraan ini hasil visi dan dedikasi beliau yang tidak pernah luntur.

Beliau menegaskan, disiplin, ketegasan dan kesungguhan menjadi kunci kejayaan. Laluan ke pangkat Leftenan Kolonel memerlukan ketahanan mental, fizikal dan spiritual dari Kursus Ketua Platun (2010) hingga Kursus Pegawai Kanan (2024), semuanya disempurnakan dengan cemerlang.

Antara pencapaian penting beliau adalah Anugerah Penuntut Kursus Terbaik Senjata Bantuan (2012) serta pelbagai pengiktirafan di USIM dan peringkat negeri seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2008, 2013, 2022), Anugerah Khas Libatsama Komuniti (2014), Pingat Kebaktian (2021) dan Pingat Jasa Kebaktian Negeri Sembilan (2022).

“Bekerjalah dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran. Kepuasan sebenar datang apabila kita melihat hasil kerja memberi manfaat kepada orang lain,” katanya ketika ditanya tentang rahsia kejayaan beliau.

Beliau turut berpesan kepada seluruh warga USIM agar sentiasa istiqamah, berdisiplin dan berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap amanah yang dipikul.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang. Ia hasil dorongan keluarga, kepimpinan universiti, serta seluruh warga USIM yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan,” tambah beliau.

Leftenan Kolonel Rozaimi menzahirkan penghargaan kepada keluarga, kepimpinan universiti dan warga USIM atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kisah beliau bukan sekadar catatan kenaikan pangkat, tetapi simbol ketabahan, disiplin dan semangat juang yang menjadi inspirasi kepada seluruh warga USIM.

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani