NILAI, 23 Januari 2022- Seramai 970 pelajar Tamhidi semester II, Sesi Akademik 2021/2022 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kembali ke kampus untuk menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka dan hibrid.
Pendaftaran masuk ke kolej kediaman bermula 21 sehingga 23 Januari 2022 dan ditempatkan di dua lokasi iaitu Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) dan Kolej Kediaman Sutera Indah (KKSI).
Pengarah Pusat Tamhidi Prof Madya ChM. Dr Juliana Jumal berkata, semua pelajar wajib mengisi dan mengemaskini status vaksinasi diri dalam portal iStudent. Manakala bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan perlu mendapatkan pengesahan daripada hospital atau klinik kerajaan dan memaklumkan kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) untuk tujuan penyelarasan.
“Bagi pelajar yang belum menerima vaksin, pelajar disarankan untuk segera mendapatkan janji temu vaksin Covid-19 dengan menghubungi klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran”.
“Cabaran sebelum ini adalah menguruskan diri dalam tempoh PdP secara dalam talian. Apabila guru tidak berada di depan mata kita, kita sendiri yang kena jujur dengan diri sendiri untuk menyiapkan tutorial dan tugasan-tugasan yang diberikan”, jelas Muhammad Hariz Mohamad Nasir, pelajar Tamhidi Sains Perubatan.
Sementara itu bagi Muhammad Nabil Amin Nasaruddin,19, Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi, sangat gembira dan teruja apabila dapat menjalani PdP secara bersemuka. Peluang ini akan digunakan sebaiknya untuk memastikan pencapaian semester ini cemerlang sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Pihak universiti amat mengambil berat terhadap keselamatan dan kesihatan pelajarnya dan mendoakan para pelajar selamat dari jangkitan Covid-19 serta dapat meneruskan sesi PdP dengan lancar.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan