NILAI, 24 Feb – Mengambil jurusan Syariah dan Undang-undang, tidak menjadi penghalang untuk para pendebat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) untuk berbahas mengenai bidang berbeza iaitu teknologi dan kejuruteraan dalam Pertandingan Debat Teknologi Kejuruteraan anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 20 hingga 22 Februari lalu.
Pendebat USIM yang diwakili Muhamad Ikmal Jamaluddin, 20; Ahmad Farouq Ahmad Fuad, 20; Lily Norliyana Noor Azman, 21 dan Nor Mawaddah Nor Azli, 20 berjaya melangkah ke pertandingan akhir bertemu pendebat Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) yang diadakan di Dewan Astaka UMP. Bertindak sebagai pembangkang, usul yang dibahaskan adalah “Sudah Tiba Masanya Stesen Minyak Diganti Dengan Stesen Pengecas Kereta Elektrik” berlangsung sengit dan menarik. Keputusan akhir tidak memihak kepada USIM sekaligus dinobatkan sebagai Naib Johan.
UNiSZA selaku johan menerima hadiah wang tunai RM 2000 dan sijil penghargaan manakala USIM menerima hadiah wang tunai RM 700 dan sijil penghargaan. Walaupun muncul Naib Johan, kehebatan pendebat muda USIM mendapat pengiktirafan oleh para juri apabila Saudara Muhamad Ikmal Jamaluddin dipilih sebagai Pendebat Terbaik Akhir.
Pada masa sama, Muhamad Ikmal juga menambah kegembiraan pasukan debat USIM apabila menerima pengiktirafan berganda dipilih sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan daripada 48 orang pendebat yang menyertai pertandingan ini.
“Persiapan pasukan sepanjang cuti semester untuk pertandingan ini berbaloi bagi kami selaku pendebat pelapis USIM. Kejayaan yang saya terima ini bukanlah kejayaan peribadi tetapi kejayaan bersama ahli pasukan. Ini akan menjadi motivasi terbaik bagi kami untuk persediaan ke Pertandingan Debat DiRaja yang akan diadakan pada Mei nanti” ujar Muhamad Ikmal.
Sebanyak 12 buah pasukan menyertai pertandingan ini mewakili pelbagai Universiti antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, Pahang dan Dungun Terenganu; Management Science University (MSU); Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menurut penganjur, Pertandingan Debat Teknologi Kejuruteraan yang julung kalinya diadakan di UMP ini memilih pelbagai usul yang membincangkan isu-isu semasa teknologi kejuruteraan. Tema ini dipilih bersesuaian dengan peranan UMP sendiri sebagai IPT yang mengangkat ilmu tentang teknologi kejuruteraan.
Disediakan oleh :
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204