NILAI, 31 MAC 2016 – Penubuhan fakuti kesembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr Asma Ismail setelah diluluskan penubuhannya oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi pada 10 Disember 2015.

Melalui penubuhan fakulti ini, dua program akademik sedia ada yang diletakkan di bawah Fakulti Sains dan Teknologi iaitu Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian serta Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) ditawarkan di bawah FKAB ini mulai 2016.

“Hasrat USIM menubuhkan FKAB adalah untuk membuka peluang baharu kepada pelajar lepasan sekolah agama untuk melanjutkan pengajian dalam bidang profesional. Usaha awal kepada penubuhan fakulti ini ialah dengan pengambilan kumpulan pertama pelajar Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian pada 2012 diikuti Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) pada 2013,” ucap YBhg. Dato’ Musa Ahmad.

Selari dengan kapasitinya kini sebagai sebuah fakulti yang dinamik, ia mempunyai perancangan untuk menawarkan beberapa program akademik baharu pada masa hadapan. Diperingkat pra-siswazah adalah Sarjana Muda Ukur Bahan dengan Kepujian sementara pasca-siswazah  ialah Sarjana Sains Kejuruteraan dan Doktor Falsafah Kejuruteraan.

Dekan Pertama FKAB, Profesor Dr. Kamaruzzaman Seman Fakulti menyatakan sasaran awal yang ditetapkan oleh FKAB adalah mendapatkan pengiktirafan badan profesional dan akreditasi dari badan berkaitan untuk dua program sedia ada kini.

FKAB akan beroperasi secara sementara dan gunasama kemudahan di bangunan Fakulti Sains dan Teknologi sehingga ia memiliki bangunan sendiri kelak.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204