LONDON, 26 OKT 2016 – Penyertaan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam pertandingan inovasi antarabangsa iaitu British Invention Show (BIS) pada 19 hingga 22 Oktober lalu membuah hasil apabila mendapat 2 emas dan 2 perak serta Anugerah Khas Platinum.

Penyertaan kali ini juga turut membanggakan apabila produk Mobile Intravenous Drip (MIV) dianugerahkan Special Award : Platinum Award of Consumer Category selain mendapat emas (Innovation Category) dan perak (Design Category).

“Anugerah Khas Platinum yang diterima ini merupakan satu permulaan baik untuk kumpulan inovasi lain bagi mendapatkan anugerah tertinggi pada masa akan datang,” ujar YBhg Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

“Alhamdulilah, kejayaan MIV ni tidak dapat dikecapi tanpa usaha dari rakan kumpulan serta pensyarah penyelia, Prof Madya Ahmad Najib Azmi  yang bersama-sama menjayakan projek ini. Selain itu, terima kasih juga kepada USIM kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami mewakili universiti untuk bertanding di BIS tahun ini,” ujar Muhammad Akmal Sallahuddin, pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

“Secara umumnya, rawatan Intravenous adalah rawatan biasa di hospital untuk memberi ubat dan menstabilkan cecair dalam badan pesakit. Selalunya pesakit akan ada masalah untuk bergerak dengan set IV seperti untuk ke tandas secara tidak langsung ia boleh tercemar jika diletakkan di tempat yang tidak bersih. Botol IV juga kadang kala diletakkan diparas rendah daripada tangan pesakit boleh mengakibatkan keluarnya darah ke dalam tiub IV. Justeru, kami reka produk MIV  ini bagi membantu pesakit bergerak dengan lebih mudah semasa menjalani rawatan di hospital selain dapat menjamin kebersihan set IV malah dapat mengatasi masalah efluks darah masuk ke dalam tiub IV,” terangnya.

Bagi produk Jugular Venous Pressure (JVP Ruler), pembaris ini direka khas untuk mengira satu tekanan salur darah yang terletak di leher manusia. Produk ini unik kerana ia menekankan konsep konsiten, tepat dan praktikal. Melalui penggunaan JVP Ruler ini, ia boleh digunakan sebagai langkah utama mengenalpasti sekiranya terdapat masalah jantung yang tidak dikesan oleh bakal pesakit.

“JVP Ruler ini dicipta untuk memberi kiraan tepat dan diagnosis yang betul seterusnya rawatan terbaik boleh diberikan kepada pesakit,” ujar Balqis Muhammad Kasim, pelajar tahun 5 dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang hadir bersama pensyarah penyelia, Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.

Pertandingan yang diadakan bertempat di Barbican Exhibition Centre membawa nama Malaysia amnya dan USIM khususnya mengulangi kejayaan cemerlang yang pernah dicipta pada tahun lalu memberi peluang peserta mengenengahkan pelbagai jenis ciptaan  dan hasil inovasi.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204