NILAI, 20 MEI 2015 – Kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang Kesihatan Pergigian Masyarakat menjadikan Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman seorang yang disegani dikalangan kakitangan jururawat pergigian khususnya dan masyarakat amnya. Beliau telah berkhidmat di Fakulti Pergigian USIM sejak tahun 2006 lagi, kini beliau merupakan professor di Fakulti Pergigian USIM dan Pakar Pergigian Kesihatan Awam yang telah berkhidmat di peringkat negeri dan kebangsaan di Kementerian Kesihatan Malaysia selama lebih 30 tahun.
Professor Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir bin Wan Othman,65, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mendapat pendidikan awal di Sultan Ismail Primary School dan meneruskan pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum ke Tingkatan Enam di Institut Teknologi Mara (ITM), di Jalan Othman, Petaling Jaya. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian di Universitas Sumatera Utara dari 1970 sehingga 1976. YBhg. Prof Dato’ Dr Wan Mohamad Nasir merupakan graduan Malaysia pertama yang dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Gigi di Indonesia.
Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman terlibat secara aktif dalam beberapa Pertubuhan Profesional dalam mempromosikan profesion pergigian dan telah menerbitkan beberapa artikel dan membentangkan beberapa kertas kerja dalam persidangan kebangsaan dan antarabangsa mengenai Pendidikan Pergigian dan Kesihatan Oral. Pada masa kini, beliau adalah Ahli Majlis Pergigian Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Kepakaran dalam Bidang Kesihatan Awam Pergigian, National Specialist Register.
Bagi menghargai jasa jururawat pergigian yang telah membantu untuk meningkatkan kualiti kesihatan mulut, terutama kanak-kanak khususnya di sekolah-sekolah dan klinik, Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman telah menyiapkan manuskrip bertajuk ”The Unsung Heroin: A Tribute To Dental Nurses” yang disampaikan pada Majlis Syarahan Perdana yang diadakan di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM pada 18 Mei baru baru ini.
Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, program Syarahan Perdana yang diadakan ini merupakan medium yang terbaik bagi ahli akademik berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing dengan warga universiti dan masyarakat umum. Ia juga menjadi platform untuk para cendikiawan akademik meningkatkan tahap kesarjanaan mereka seterusnya memberikan sumbangsaran serta idea bernas mereka untuk kemajuan dan pembangunan universiti dan negara.
“Adalah menjadi harapan saya agar platform ini mampu mewujudkan satu paradigma baharu dan cetusan inspirasi serta galakan kepada ahli akademik yang lain untuk turut berkongsi kepakaran masing-masing khususnya kepada warga USIM”, ujar beliau.
Objektif penganjuran syarahan ini adalah untuk berkongsi hasil garapan dan cetusan idea beliau yang telah pun dilaksanakan semasa berkhidmat sebagai Pengarah Sekolah Latihan Pergigian, di Pulau Pinang. Hasil dari usaha tersebut telah diterjemahkan dan didokumentasikan dan kesannya dapat dilihat dengan jelas kerana telah berjaya meningkatkan taraf kesihatan mulut di kalangan kanak-kanak dan masyarakat Malaysia secara amnya.
Majlis Syarahan Perdana ini dihadiri oleh lebih 300 tetamu dari mahasiswa pergigian, kakitangan jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan pegawai pergigian KKM. Majlis turut diserikan dengan perarakan masuk Ahli Senat Universiti.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan