NILAI, 5 MAC 2015 – Projek Shelter anjuran TESCO Store (Malaysia) Sdn Bhd telah memberi peluang kepada kumpulan pelajar program Seni Bina Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM untuk bersama-sama menjalankan CSR kepada mangsa banjir, kerana model rekaan mereka terpilih sebagai model pembinaan rumah bantuan mangsa banjir di Kelantan.
Idea asal model rumah ini adalah dari pensyarah USIM Ar. Fadli Arabi dan kumpulan pelajar terdiri daripada lapan orang pelajar dari tahun 1 hingga 3 iaitu Wan Mohd Azly, Bibi Nur Bashirah, Izzat Irfan, Mohd Farizal, Nasrinm Majdime, Mohd Safuan, Mohd Azry Hadi dan diketuai oleh Luqman Hakim.
Menurut Ar. Fadli Arabi, rumah ini dijangka akan mula dibina pada bulan April di Kg Sg Pinang Kelantan. Rumah yang berkeluasan 740 kaki persegi ini akan menempatkan tiga bilik tidur, 2 bilik air, ruang tamu dan dapur yang selesa.
“Rumah pasang siap ini bukan sahaja berkonsepkan modular sistem, malah bahan yang akan digunakan adalah dari bahan kitar semula dan bercirikan mesra alam”.
“Selain itu, ia juga menepati syariah compliance dimana kedudukan pintu masuknya menghadap kiblat dan ruang dapur yang terlindung”, tambah beliau.
Mohd Farizal, pelajar Tahun 2, mengatakan peluang yang diberikan oleh pensyarah bimbingan iaitu Ar. Fadli Arabi, Ar. Elina Mohd Husini , dan Ar. Wan Norisma Wan Ismail, untuk turut serta dalam projek ini sangat dihargai kerana peluang sebegini memberi pendedahan kepada dunia kerjaya mereka kelak. Sebelum ini mereka banyak menghabiskan pembelajaran di dalam kelas, workshop dan pameran, namun dengan kerjasama bersama klien atau pihak luar sedikit sebanyak memberi pengalaman dan gambaran awal mengendalikan sesuatu projek, selain mengasah lagi kreativiti mereka.
“Sebagai pelajar USIM kami sentiasa menerapkan ciri-ciri keislaman dalam setiap rekabentuk yang dihasilkan selain menitikberat keselesaan klien kami”.
“Kami akan bersama-sama krew tesco dan orang kampong untuk mendirikan rumah ini yang dijangka bermula pada bulan April”.
“Sebelum ini juga kami telah mereka bentuk photo booth wedding berkonsepkan taman pada Majlis Perkahwinan anak Timbalan Dekan, Prof. Madya Dr. Norita Md Nawawi” katanya.
Majlis penghargaan kepada sukarelawan mangsa banjir dan pelancaran model rumah kepada mangsa banjir telah diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara. Turut hadir sama Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad bersama meraikan majlis berkenaan bersama pelajar dan pengurusan Tesco.
Disediakan oleh :
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204