NILAI –Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan inovasi apabila meraikan kejayaan enam (6) harta intelek yang berjaya memperoleh kelulusan paten dan perbaharuan utiliti dalam Majlis Apresiasi Paten Penyelidik USIM yang berlangsung di Ruknu Arabi, Perpustakaan USIM baru-baru ini.

Majlis yang julung kali diadakan ini disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani sebagai simbol komitmen universiti dalam memperkasakan budaya penyelidikan berimpak tinggi dan pengkomersialan teknologi.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kelulusan paten dan perbaharuan utiliti bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi merupakan manifestasi hala tuju strategik universiti dalam menjadikan USIM sebagai solution provider kepada masyarakat dan industri.

“Hasil penyelidikan tidak boleh terhenti di makmal atau jurnal semata-mata. Ia mesti diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi pulangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun bukan kewangan kepada masyarakat,” ujar beliau.

Sehingga kini, USIM telah memfailkan sebanyak 23 paten, 11 perbaharuan utiliti, 576 hak cipta, 51 rahsia perdagangan, 8 reka bentuk industri dan 10 cap dagangan. Daripada jumlah tersebut, 3 paten dan 3 perbaharuan utiliti telah diluluskan, sekali gus membuka ruang lebih luas ke arah pemindahan teknologi dan pengkomersialan.

Kejayaan yang diraikan pada hari ini melibatkan penyelidikan dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan Islam, bidang-bidang yang mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan serta dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat dan industri. Pengurusan universiti turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh dasar dan sokongan berkaitan harta intelek serta memperluas peluang pengkomersialan melalui perlesenan teknologi dan penubuhan syarikat terbitan universiti.

Majlis ini bukan sekadar meraikan pencapaian individu, tetapi mencerminkan kematangan budaya penyelidikan dan inovasi di USIM. Ia juga menjadi petanda bahawa universiti ini berada pada landasan yang tepat dalam membina reputasi sebagai institusi yang bukan sahaja unggul dalam kesarjanaan ilmu, tetapi mampu menterjemahkan ilmu kepada nilai dan impak sebenar kepada negara dan ummah.