NILAI, 5 NOV 2015 – Persiapan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk meraikan 2498 graduannya dalam Majlis Konvokesyen Ke-13 yang bermula pada Sabtu ini memasuki fasa akhir dengan penganjuran Raptai Perdana pada hari ini di Dewan Tuanku Canselor.

Raptai Perdana ini yang melibatkan para graduan yang akan berkonvokesyen nanti bersama Pengurusan Universiti, dekan fakulti dan kakitangan universiti  yang betugas. Turut hadir menyaksikan raptai perdana ini adalah Prof Datuk Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor.

“Raptai ini amat penting bagi memberi gambaran sepenuhnya perjalanan Majlis Konvokesyen nanti terutamanya para graduan. Hampir 500 petugas merangkumi petugas pentas, penyambut tetamu, jamuan, protokol, teknikal dan fizikal, pengurusan acara serta keselamatan telah dilantik oleh Pengurusan Universiti untuk nemastikan kelancaran Majlis Konvokesyen kita nanti” ujarnya.

Beberapa graduan yang ditemui ternyata teruja mengikuti majlis raptai ini. Menurut Amarul Arief Mohd Shuhaimi, 25 bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan gembira dengan perjalanan raptai ini.

“Terima kasih kepada Urusetia kerana berusaha sehabis baik untuk memastikan perjalanan hari penting kami berjalan lancar. Saya tidak sabar untuk menerima ijazah pada Sabtu ini dan berkongsinya dengan ahli keluarga yang datang nanti”.

“Ini adalah majlis konvokesyen saya yang pertama dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang mencabar ini, pastinya saya bersyukur. InsyaAllah, suami dan ibu saya akan datang nanti meraikan saya di USIM” ucap Noor Faradzela Mohamad, 24 bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Pergigian yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Penyelidik di Fakulti Pergigian USIM.

Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-12 yang akan disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM pada 7 November (Sabtu).

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204