NILAI- Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui kelab sukarelawan Dakwah OKU, Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju dakwah inklusif apabila menganjurkan Program Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) kali ke-7 dengan penyertaan 30 peserta dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran dari seluruh Malaysia serta seorang peserta dari Singapura.

Program yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan bermula 19 Februari 2026 dan dijadualkan berakhir pada 25 Ramadan bersamaan 15 Mac 2026 ini terus menjadi platform pembudayaan al-Quran secara inklusif dalam komuniti OKU Pendengaran.

Penganjuran OTTS tahun ini turut mendapat sokongan padu daripada Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH), Yayasan RI (Dato’ Haji Rizalman Haji Ibrahim) serta Dari Al-Qari Resources.

Berkonsepkan “1 Juzuk 1 OKU Pendengaran”, program ini dikendalikan oleh 30 orang asatizah bersama 30 fasilitator. Lebih membanggakan, seramai lapan tenaga pengajar (asatizah) dalam kalangan OKU Pendengaran turut terlibat sebagai pembimbing, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang dikendalikan sepenuhnya oleh asatizah tipikal daripada kakitangan UMMI, alumni SaF serta guru-guru Pendidikan Khas (Pendengaran).

Menurut Presiden SaF@USIM, saudara Khairul Amri Mustapakama, penganjuran OTTS bertujuan membudayakan amalan membaca al-Quran dalam kalangan komuniti OKU Pendengaran bersempena Ramadan sebagai bulan al-Quran.

“Para peserta didedahkan dengan kaedah dan teknik Tilawah Quran Isyarat melalui penggunaan Buku al-Rasm al-Ishari: Pratilawah Quran Isyarat serta Aplikasi Quran Isyarat yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik UMMI, USIM. Kaedah ini dirangka khusus mengikut potensi OKU Pendengaran yang mempunyai ketidakupayaan mendengar dan bertutur,” jelas beliau.

Sementara itu, Penasihat SaF@USIM, Dr. Nur Atiqah Abdul Aziz menjelaskan bahawa keunikan OTTS terletak pada pendekatan interaksi berstruktur yang dilaksanakan sepanjang sesi Google Meet.

“Fasilitator dilatih untuk berinteraksi secara langsung dengan peserta OKU Pendengaran sepanjang sesi berlangsung, manakala asatizah berperanan sebagai pemantau dan pemberi tunjuk ajar sekiranya diperlukan,” ujarnya.

Pelaksanaan program dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu Segmen Tadarus secara berjemaah melibatkan sesi Tilawah al-Quran Isyarat serta semakan bacaan selama satu jam yang dibimbing oleh asatizah yang dilantik.

Segmen khas ‘Quran fi Qalbi’ yang diadakan setiap hari Sabtu turut diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman peserta terhadap pembelajaran al-Quran. Antara pengisian termasuk Slot Rasm al-Quran oleh Ustaz Muhammad Azami Muhammad Nawawi (Felo Budi, UMMI), Slot Biodata al-Quran oleh Cikgu Ku Habsah Ku Sulong (Pembantu Pegawai Tadbir, UMMI – OKU Pendengaran) serta Slot Perkongsian OKU Ngaji oleh Ustazah Hidayah Qanie Abdullah (Felo Budi, UMMI – OKU Pendengaran).

Buku al-Rasm al-Ishari: Pratilawah Quran Isyarat dan Aplikasi Quran Isyarat merupakan inovasi utama hasil penyelidikan UMMI USIM yang menjadi bahan rujukan dalam OTTS. Kaedah Tilawah Quran Isyarat dipraktikkan melalui teknik membatangkan setiap huruf al-Quran menggunakan isyarat Kod Tangan Quran (KTQ) yang mewakili setiap huruf tanpa membunyikan bacaan bersuara.

Penggunaan isyarat KTQ ini turut mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri. Manakala Aplikasi Quran Isyarat pula telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai aplikasi al-Quran pertama seumpamanya bagi komuniti OKU Pendengaran.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti OKU Pendengaran, malah turut melatih mahasiswa USIM khususnya ahli SaF@USIM agar lebih cakna terhadap cabaran pembudayaan Tilawah al-Quran dalam komuniti ini. Para mahasiswa turut mengikuti Modul Training of Trainers (ToT) OTTS bagi meningkatkan kemahiran komunikasi dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) serta pendekatan pedagogi Quran Isyarat.

Sempena penghayatan Nuzul Quran, program turut diserikan dengan sesi ‘Dialog Nuzul Quran’ yang dikendalikan oleh Dr. Siti Mardhiyah Kamal Azhar bersama Cikgu Nordin Hassan (Penolong Pendaftar, UMMI – OKU Pendengaran).

Majlis penutup OTTS dan Khatam al-Quran akan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus, Pengarah UMMI USIM serta diserikan dengan tausiyah Ramadan oleh Ustaz Syaari Ab. Rahman, pengasas Tadabbur Centre pada 15 Mac 2026 ini.

Penganjuran OTTS kali ke-7 ini sekali lagi membuktikan komitmen USIM dalam memperkasa pendidikan al-Quran secara inklusif serta memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada rahmat dan sinar al-Quran.

 

Oleh: Nur Rasyidah Binti Ahmad Razali/ Khairunnisa Ismail