NILAI – Jabatan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Gema Bahasa Kebangsaan 2016 Peringkat Universiti pada 11 Mei lalu sebagai sokongan kepada kesinambungan program Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Nasional yang dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sambutan Gema Bahasa dijenamakan semula melalui penganjuran pelbagai aktiviti antaranya deklamasi puisi, dikir barat, pelancaran buku pantun,pertandingan pantomim merdeka, pertandingan menulis artikel dan esei dalam Bahasa Melayu, pidato dan juga forum.
“USIM bergerak seiring dengan kerajaan untuk memastikan kedaulatan Bahasa Melayu itu terjaga dan terbaja sentiasa. Walaupun kita menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi Bahasa Melayu menjadi keutamaan dalam pentadbiran dan juga tindakan kita,” ucap Dato’ Musa di Majlis Perasmian Pelancaran Program Gema Bahasa.
“Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa bukan sekadar ungkapan sahaja kerana ia mempunyai pengertian yang luas dan bermakna serta perlu dihayati yang harus kita sokong melalui kempen mencintai dan memartabatkan Bahasa Melayu,” tambahnya.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204