Fakulti Sains dan Teknologi (FST) mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu Sains, Teknologi, Nilai Keagamaan, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STREAM) bersempena dengan Sambutan 15 Tahun Fakulti Sains dan Teknologi (FST) bertemakan Sains: Hak Asasi Manusia berketepatan dengan tema Sambutan Hari Sains Sedunia 2018 oleh UNESCO.
Program ini telah diadakan pada 12 Nov 2018 bermula jam 9.00 pagi bertempat di Perkarangan FST, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan melibatkan kebersamaan bersama para pelajar, guru dan masyarakat setempat. Kebersamaan ini bertujuan bagi menonjolkan keseronokan dalam eksplorasi Dunia Sains yang mana merupakan kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Akademi Sains Malaysia (ASM).
USIM yang diterajui oleh FST sebagai sekretariat dengan bantuan Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm) USIM, Jabatan Keselamatan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar secara komited merancang kelancaran perjalanan Sambutan Hari Sains Sedunia dan Majlis Perasmian Penutup Sambutan 15 Tahun FST agar berjaya mencapai objektif yang ditetapkan iaitu untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering kali memikirkan bahawa Sains itu adalah satu bidang yang sukar dan tidak menarik.
Ilmu pengetahuan berkaitan Sains perlu diketengahkan dalam diri setiap pelajar kerana Sains merupakan antara aspek yang penting dalam memacu perkembangan teknologi namun hilangnya minat pelajar dalam meneruskan pengajian dalam bidang ini bakal merencatkan pertumbuhan Negara. Usaha-usaha secara inklusif perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk guru, pensyarah dan masyarakat untuk memastikan minat ini tidak terus pudar dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sepanjang program berlangsung, aktiviti-aktiviti seperti Eksplorasi Sains, penghasilan keju, yogurt, minyak wangi dan mesin cetak 3D turut disediakan bagi memperlihatkan Dunia Sains adalah Dunia yang tidak asing bagi masyarakat dan acap kali digunakan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, Bicara Sains bagi memberikan senario semasa berkenaan kedudukan Sains di sekolah, universiti dan industri turut dilaksanakan kepada para guru dan pelajar bagi membawa agenda pengukuhan STREAM dapat dilaksanakan dengan baik untuk memastikan golongan saintis dan jurutera sentiasa diperkasakan bagi memacu perkembangan Negara ke arah status Negara Maju.
Dalam pada itu, beberapa initiatif yang telah diambil oleh pelajar-pelajar FST maka produk FaST LaB (Faculty of Science and Technology Lab in a Box) dapat dihasilkan bagi membuka peluang kepada para ibu bapa dan guru untuk melaksanakan eksperimen Sains di mana-mana sahaja tanpa perlu berada di dalam makmal. Sambutan Hari Sains Sedunia ini merupakan acara tahunan FST dalam memperkasakan minat masyarakat dalam bidang Sains dan semua dijemput hadir bagi melihat dunia Sains dengan lebih dekat dan mencuba eksperimen-eksperimen yang telah disediakan. Bagi ibu bapa dan guru-guru yang tidak berkesempatan untuk hadir namun ingin mendapatkan kit-kit Pendidikan Sains FaST LaB boleh melayari laman sesawang www.mystreamlab.com untuk mendapatkan produk-produk yang dihasilkan oleh pelajar FST USIM.