SEPANG – Seramai 45 orang mahasiswa Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan program libatsama masyarakat bertemakan “Teknologi Disantuni, Mengukuh Amal Beretika” di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia-University Society (SULAM) pada 24 Mei 2025 baru-baru ini.

Program bertajuk “AI-Driven Cybersecurity Through Cyber Hasanat for Sustainable Digital Communities” ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, dan berlangsung di Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar (SAMSMEL) dengan penglibatan seramai 132 pelajar Tingkatan 3.

Lebih daripada sekadar aktiviti khidmat masyarakat, program ini menjadi platform memperkasa kesedaran digital dalam kalangan pelajar sekolah menengah melalui pendekatan pendidikan keselamatan siber yang menyeronokkan dan beretika.

Menariknya, inisiatif ini turut menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (GSS) bagi tahun 2025, sekali gus menjadikan UNESCO Malaysia sebagai penaja utama program ini.

Menurut Prof. Madya Dr. Sakinah, sokongan ini merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber berlandaskan nilai-nilai Islam.

“Melalui program ini, mahasiswa bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membina jalinan erat antara teknologi dan komuniti melalui pendekatan berasaskan nilai murni dan inovatif,” ujar beliau.

Para pelajar sekolah didedahkan dengan tiga komponen utama iaitu sesi perkongsian interaktif AI-Cyber Hasanat. papan permainan pendidikan Secure Cybercitizenship (SET) dan aktiviti eksplorasi dunia keselamatan siber secara menyeronokkan

Melalui pendekatan ini, peserta lebih mudah memahami ancaman siber serta peranan AI dalam melindungi keselamatan digital individu dan komuniti.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengetua SAMSMEL, Puan Noor Haniah Wan Muhammad, menzahirkan penghargaan terhadap usaha mahasiswa USIM yang telah membawa ilmu dan kesedaran digital kepada pelajar sekolah.

“Kesedaran siber sangat penting dalam era kini, dan program seperti ini perlu diperluas bagi memastikan semua lapisan masyarakat lebih peka terhadap ancaman siber tanpa mengira usia atau latar belakang,” katanya.

Beliau turut berharap agar program ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik antara USIM dan SAMSMEL dalam memperkukuh pendidikan keselamatan digital dan AI melalui aktiviti kesukarelawanan dan libatsama komuniti yang berterusan.

Santuni Teknologi, Erat Komuniti: Mahasiswa USIM Perkasa Kesedaran AI dan Keselamatan Siber Berteraskan Nilai Islam