Nilai, 10 April 2017 – Seramai 34 orang pelajar kumpulan pertama menyertai kursus Siswa Bomba Bantuan (SSB) sebagai kursus berkredit kokurikulum Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kursus-kursus kokurikulum berkredit ini diselaraskan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM. Program kokurikulum kebombaan berkredit ini adalah yang pertama kali ditawarkan di Universiti Awam. Antara objektif di wujudkan ialah untuk mendedahkan kepada mahasiswa/i mengenai pengetahuan sains kebombaan dan kemahiran-kemahiran menyelamat.
Komandan Siswa Bomba Bantuan USIM, Encik Muhammad Haizuan bin Rozali yang juga selaku Pendaftar USIM melihat langkah mewujudkan kursus ini sangat bertepatan kerana pelajar diterapkan dengan etika kerja dan juga kemahiran untuk berhadapan dengan risiko-risiko yang besar yang sering dihadapi oleh masyarakat. Sebagaimana diketahui bahawa piawaian kemahiran profesional institusi bomba di negara ini telah diiktiraf di peringkat dunia, sudah tentulah begitu banyak manfaatnya kepada mahasiswa/i yang menyertainya. Selain diberikan pendedahan pengetahuan, pelajar juga diberi tunjuk ajar untuk mengendalikan peralatan bomba yang berteknologi tinggi. Silibus yang digunapakai dirangka oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Pelajar yang mengambil kursus ini turut didedahkan dengan etika dan budaya kerja pasukan bomba yang sentiasa bersedia di tahap yang tertinggi untuk mendepani sebarang kemungkinan yang berlaku. Perwatakan mahasiswa dibentuk dengan disiplin, kesediaan untuk berkhidmat dalam sebarang keadaan serta psikologi sebagai seorang penyelamat. Mereka juga diajar tentang bagaimana membuat keputusan dalam suasana kritikal berdasarkan analisis suasana kejadian dan reaksi semasa,” ujar Encik Haizuan.
Menurutnya, kejayaan kursus ini sememangnya sangat bergantung kepada komitmen dan kesungguhan oleh tenaga pengajar daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia khususnya seluruh warga bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Negeri Sembilan.
Tuan Masdar Suminggu, Pegawai Bomba Kanan II, yang juga jurulatih SBB menyatakan pelajar SBB didedahkan dengan pengetahuan cara mengawal kebakaran melalui sesi pembelajaran teori dan praktikal berbentuk rekrut. Operasi tersebut dijalankan di lapangan Balai Bomba dan Penyelamat Nilai.
“Saya berharap agar SBB di USIM ini terus berkembang dan dijangka bulan 9 akan ada 1 skuad bagi menambahkan ahli SBB. Aktiviti SBB yang telah berjalan sejak semester lepas memberi penekanan aspek pengenalan untuk mengawal dan mencegah kebakaran supaya pelajar SBB dapat mempraktikkan latihan yang dipelajari sekiranya berlaku kebakaran,”tambahnya lagi.
Antara pelajar yang ditemui berkongsi rasa teruja menyertai SBB yang menyediakan bentuk latihan seperti menyelamat, memadam kebakaran selain berkawad yang jauh berbeza dari badan beruniform yang lain selain berpeluang menggunakan peralatan semasa latihan.
Bagi Nur Azreen Ahmad Refa’i, pelajar tahun 1 Fakulti Syariah Undang-undang, program ini memberi ilmu baharu selain membentuk diri menjadi lebih berdisiplin serta mematuhi arahan ketua pasukan.
“Saya teruja menggunakan alatan yang berteknologi tinggi yang jarang sekali mendapat peluang ini selain mengikuti modul yang disediakan. Walaupun latihannya memenatkan namun dengan adanya rakan-rakan sekumpulan, semangat setiakawan menebal dan sokongan daripada tenaga pengajar menjadi penguat semangat untuk saya meneruskan latihan,” ujarnya yang meminati aktiviti lasak dan bercita-cita menjadi sebahagian ahli bomba selepas tamat pengajian.
Bagi Wan Muhamad Waez Wan Rosli, pelajar tahun 1 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, pengalamannya menyertai Unit SBB ini membolehkannya belajar tentang cara menyelamat dan pengendalian alatan pemadaman seperti pemasangan hos dengan betul.
“Mungkin sebelum ini saya hanya didedahkan dengan cara menyelamatkan diri ketika melakukan latihan fire drill, setelah saya menyertai Unit SBB ini, saya dapat mengetahui lebih lagi tentang cara penyelamatan yang betul”.
“Mungkin sesetengah orang awam menganggap bahawa pengendalian hos bomba ini seperti menggunakan paip biasa. Sebenarnya tidak, kerana ianya memerlukan kekuatan fizikal dan komunikasi antara ahli pasukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti “water hammer”. Kami juga didedahkan dengan penggunaan BA sistem (Breathing Apparatus) iaitu antara alatan terpenting dalam misi menyelamat mangsa di dalam bangunan”.
“Di samping itu, antara faktor lain yg menarik minat saya utk menyertai SBB ini adalah cara pengajaran ilmu kebombaan daripada jurulatih yang berpengalaman dan telah banyak menjalankan misi-misi penyelamat”.
“Pada semester yang lepas, saya telah menjalani latihan di BBP Nilai. Antara latihan yang dijalankan adalah teknik menyelamat dalam bangunan sambil memakai face mask. Face mask yang digunakan telah ditutup bahagian visor sebagai simulasi sebenar ketika proses penyelamatan dilakukan. Kemudian saya dan pasukan dibawa ke suatu tempat yang kami sangkakan ianya terlalu luas, hampir lebih daripada 40 minit kami mencari mangsa di kawasan tersebut. Setelah selesai latihan, kami melihat tempat yang digunakan tadi hanyalah bilik sebesar ruang tamu sahaja”.
“Daripada latihan itu kami simpulkan bahawa apa yang dilihat oleh orang awam tidak sama seperti apa yang ahli bomba lakukan kerana tidak mustahil sekecil-kecil bilik boleh menjadi seluas luas tempat ketika kebakaran berlaku kerana tahap penglihatan amatlah terhad”.
“Seterusnya, saya belajar untuk lebih berani kerana kerja-kerja penyelamatan bukan mudah dilakukan. Saya belajar untuk menghargai dan memahami tugas-tugas pasukan bomba ketika menjalani misi sehingga ada yang terkorban nyawa mereka. Oleh kerana itu, nilai yang saya dapat daripada menyertai SBB ini antaranya kerjasama ketika menjalani sesuatu tugasan”.
Kewibawaan, sikap, disiplin serta komitmen yang terbaik yang dipamerkan oleh tenaga pengajar telah menimbulkan rasa hormat yang tinggi dan profesion kebombaan ini telah menjadi kerjaya pilihan mahasiswa selepas tamat pengajian nanti.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204