PORT DICKSON, OKT 2014 – Seramai 70 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menganggotai Kor Sukarelawan Polis Siswa/i (Suksis) USIM berkampung selama 3 hari 2 malam di Port Dickson Santuary Resort, Pasir Panjang untuk mengikuti Modul Kepimpinan yang disediakan.
Kumpulan ini yang merupakan Skuad 9 Kor Suksis USIM merupakan ambilan baharu pada September lalu terdiri dari 35 peserta lelaki dan 35 peserta perempuan diberi pelbagai tugasan dan pengisian sepanjang program berlangsung yang dikendalikan oleh jurulatih dan pegawai.
Program ini adalah program luar pertama secara berkumpulan yang diikuti selepas mereka terpilih menjadi Kor Suksis. Menurut Saudara Muhmmad Yunus Shahidan, 20, pelajar Program Akidah dan Agama Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), antara aktiviti paling mencabar ialah peserta perlu membina rakit menggunakan buluh dan tong air kosong yang akan digunakan untuk aktiviti di laut selepas itu.
“Rakit yang dibina perlu kukuh kerana ia akan dinaiki oleh 24 orang peserta setiap satu dan mudah bergerak semasa mendayung. Ia benar-benar menguji semangat kerja berpasukan, kepimpinan dalam mengaturtugas, kreativiti, fizikal dan kekuatan mental.”
“Banyak perkara baharu dipelajari semasa di sini, ia amat menarik dan menyeronokkan kerana setiap aktiviti yang kami ikuti memberi makna dan pengajaran yang tersendiri. Ia juga membuka ruang untuk kami salingmengenali”.Ujarnya yang juga merupakan Ketua Skuad 9.
Semasa di sana juga, para peserta mengambil peluang bergotong-royong membersihkan surau di kampong berdekatan. Selain pengisian luar(outdoor) dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK), peserta juga disediakan slot khas bersama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, ACP Che Man bin Md Dros dan Dialog Santai dan Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang juga Komandan Kor Suksis USIM.
Para pelajar yang terpilih sebagai Kor Suksis akan mengikuti kursus Kokurikulum Berkredit ini selama 6 semester pengajian. Pada bulan Ogos lalu, seramai 43 orang ahli Skuad 6 Kor Suksis USIM telah berjaya ditauliahkan dalam satu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204