NILAI, 4 Mei 2017 – Seramai 68 peserta menyertai Kursus sijil pembimbing ibadat haji (SPIH) 2017 diraikan di Majlis Penganugerahan dan Penutup SPIH yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg Prof Dato’ Dr Zulkiple Abd Ghani.

SPIH yang dilaksanakan selama 5 hari bermula 29 April lalu merupakan satu program usahasama Tabung Haji (TH) dan USIM dalam usaha TH memastikan setiap Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) melalui proses pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik dan berkesan untuk membimbing jemaah haji.

”Program ini diharap dapat melahirkan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) dan peserta-peserta yang berpengetahuan tinggi di bidang pengajian ibadat haji melalui pembelajaran yang sistematik dalam menjelaskan hukum-hakam ibadat haji terkini berdasarkan isu-isu dan masalah semasa yang dikongsikan oleh tenaga pakar di USIM dan TH,” ucap Datuk Syed Saleh Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan (Haji) TH dalam ucapannya.

”Adalah diharapkan PIHTAS juga berkemampuan mengajar dengan teknik yang berkesan agar dapat mengukuhkan peranan mereka dalam membimbing jemaah haji ke arah mendapatkan haji yang mabrur. Program pengajian ini juga merupakan salah satu inisiatif TH untuk meningkatkan kompetensi PIHTAS dalam menjayakan Visi TH

”Pengurusan Haji Terbilang” kerana ia juga merupakan pra-syarat kelayakan kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) untuk menjadi PIHTAS,” tambahnya.
Menurutnya lagi, pada tahun ini TH akan melaksanakan projek perintis memasang cip pada lencana pengenalan diri jemaah pada musim haji bagi membolehkan pergerakan mereka dipantau sepanjang masa. Jangkaannya seramai 400 jemaah yang menaiki satu penerbangan akan dipilih untuk memakai lencana khas untuk membolehkan pengesanan dengan cepat jemaah sekiranya mereka tersesat,” ujarnya lagi.

Antara modul yang dipelajari sepanjang kursus di SPIH adalah Profesionalisme dalam ibadat haji dan permasalahan haji semasa dan hukum-hakam, Kaedah pengajaran berkesan pembimbing ibadat haji dan umrah, Sejarah, falsafah dan hikmah ibadat haji dan umrah, Wajib haji dan umrah, Hukum-hakam dam, Permasalahan wanita dalam ibadat haji dan umrah, Perbezaan mazhab dalam ibadat haji dan umrah, Kepimpinan dakwah dan integriti dalam pekerjaan, Kemahiran menolong (kaunseling asas), Komunikasi dan kemahiran berunding dalam ibadat haji dan umrah, Pengurusan kesihatan dan pengurusan risiko ibadat haji dan umrah.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204