NILAI, 26 OGOS 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini meriahkan Bulan Kebangsaan 2016 di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2016 Peringkat Universiti bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 USIM. Majlis pelancaran ini sebagai pembuka tirai bagi acara-acara lain yang telah di atur bermula 26 Ogos hingga 23 September nanti.

Bertepatan dengan tema #sehatisejiwa kali ini, semua warga USIM berpeluang menyertai acara yang diatur. Kempen Bulan Kebangsaan juga merupakan salah satu usaha Universiti untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan serta menaikkan semangat patriotik di kalangan warga USIM berikutan ia merupakan suatu peristiwa penting yang perlu diingati sebagai rakyat Malaysia.

“Kita sewajarnya perlu menzahirkan kesyukuran di atas nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi dan warisi ini. Janganlah sesekali kita lupa akan pengorbanan dan penderitaan serta keperitan generasi terdahulu yang telah berjuang bermati-matian sehingga kita mampu menikmati kemanisan kemerdekaan hingga ke saat ini ini,” ucap Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad.

Di majlis pelancaran turut diadakan satu slot perkongsian pengalaman oleh Siti Hanisah Sharudin, 26, pendaki wanita Islam termuda negara yang pernah sampai di Puncak Gunung Everest 2013.

Antara acara lain yang telah diatur sepanjang kempen meraikan Bulan Kebangsaan 2016 adalah aktiviti Kibaran Jalur Gemilang, Wefie Bulan Kebangsaan dengan hashtag, #ekspresimerdekaUSIM yang boleh disertai oleh pelajar dan staf USIM, Slot Bicara Bulan Kebangsaan, Perarakan Ambang Hari Kebangsaan, Pameran Arca Sambutan Bulan Kebangsaan, Khutbah Jumaat Edisi Bulan Kebangsaan, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, Ekspresi Bulan Kebangsaan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan Kembara Patriotik Merdeka serta Perarakan Khas.

Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan bakal diadakan pada 23 September 2016 bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204