KUALA LUMPUR – Seramai 38 orang Mahasiswa Tahun 3, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Lawatan Khidmat Ummah Quran dan Sunnah serta Program Smart Solat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur pada 12 Jun 2024.

Program anjuran Mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), ini telah disertai oleh 30 orang pelajar Kelas Kurang Upaya Pelbagai di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur.

Penasihat Program, Profesor Madya Dr Noornajihan Ja’afar berkata, penganjuran program ini merupakan satu keperluan bagi mahasiswa yang mengikuti kursus QNR3013, Application of Braille In Quranic and Sunnah Studies, dalam membantu mewujudkan kesedaran tentang isu agama dalam kalangan orang berkeperluan khas serta meningkatkan kualiti pelajar dalam aspek insaniah dan nilai murni terutamanya dalam pengajaran Al-Quran dan Sunnah. “Saya berharap agar mahasiswa juga akan lebih memahami dunia OKU Penglihatan serta menjadikan program ini sebagai satu pengalaman yang berharga dalam usaha untuk menyantuni komuniti OKU” ujarnya lagi.

Aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program berlangsung adalah Forum Kesihatan Seksual dalam kalangan Remaja dan kesedaran tentang penyakit HIV/AIDS/STI & HEPATITIS C serta Amali Solat. Forum telah disampaikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai.

Program ini diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang holistik, berdaya saing dan bersukarelawanan serta memberi peluang kepada mahasiswa untuk menghulurkan bantuan serta tenaga khidmat kepada komuniti OKU.

 

Sumber: Khairunnisa Ismail