NILAI, 1 NOV- Mengambil inisiatif untuk mewujudkan diskusi ilmu di antara ilmuan dan pelajar, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia memulakan langkah dalam merealisasikan Seminar Tamadun Islam & Tamadun Asia Dan Hubungan Etnik yang diadakan pada 1 November 2014 bermula bertempat di Dewan Kuliah Pusat 1, 2, 3 dan 4,USIM.

Program kali ini mendapat sokongan  penaja utama dari Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan penaja bersama dari Bank Rakyat, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Melaka, Telaga Biru SdnBhd, Berita Publishing Sdn Bhd, Kumpulan Media Karangkraf dan Khazanah Fataniyah.

Antara objektif seminar ini ialah  untuk mewujudkan jaringan akademik dan intelektual antara ahli akademik dalam bidang ketamaduan dan hubungan etnik bagi memudahkan kerjasama akademik pada masa akan datang. Selain itu seminar ini di harapkan turut dapat menyuburkan kecerdasan intelek sebagai persediaan mengharungi cabaran mendatang terutama dalam menangani isu kontemporari dalam ketamadunan Islam di Asia,  dan hubungan etnik di Malaysia.

Seminar ini dihadiri oleh seramai 29 orang pembentang dan 3 pembentang sisipan dari kalangan ahli akademik tempatan antaranya dari USIM, UKM, UiTM, USM, UMK, UMS, UPNM, UPM, Universiti Sunway, Politeknik dan IPGM. Manakala peserta seminar ini adalah seramai 2300 orang dari kalangan kakitangan awam kerajaan dan pelajar bagi subjek Tamadun Islam, Asia dan Hubungan Etnik, USIM.

Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM selaku perasmi SETH 2014 dalam ucapannya menyarankan agar seminar ini dapat memainkan peranan dengan mengetengahkan hasil penemuan penyelidikan dalam bidang sejarah dan tamadun Islam serta hubungan etnik untuk dimanfaatkan oleh ummah dan negara.

“Seminar ini seharusnya menjadi suatu platform untuk memperkenal, memperluas dan memperdalam cetusan buah fikiran dan ilmu yang telah dipelajari dalam sesi pengajian TITAS dan Hubungan Etnik, sehingga kita semua dapat bersama-sama menyumbang kepada kelahiran semula generasi pelapis yang menepati kualiti khayra ummah-yang bersifat cemerlang, gemilang dan terbilang dengan keseimbangan Naqli dan Aqlinya”.

“Hal ini adalah selaras dengan falsafah dan visi USIM yang menekankan paduan antara ilmu Naqli dan Aqli serta budi pekerti yang mulia dalam pembentukan mahasiswa dan mahasiswi USIM yang menjadi nilai penting kepada negara, ummah dan manusia sejagat”, jelas beliau lagi.

Menurut Dr. Adibah Sulaiman selaku pengarah Pusat pengajian Teras, USIM objektif seminar ini adalah seiring dengan usaha USIM untuk mengorak langkah dalam melonjakkan tahap serta kebolehannya untuk menjana ilmu baru, menyebar ilmu dan menterjemahkan ilmu bagi menghasilkan inovasi yang mampu menjana kekayaan negara, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan membangunkan ummah. Ia adalah hasrat untuk menjayakan agenda besar pendidikan negara bagi melahirkan modal insan berkualiti dalam acuan Malaysia yang akan menjadi pewaris kesinambungan kemajuan dan kesejahteraan negara.

Secara keseluruhannya, seminar ini diharapkan mampu menyemarakkan budaya perkongsian dan penerokaan ilmu melalui sesi pembentangan kertas kerja berkaitan oleh para pembentang dari dalam dan luar USIM, sekaligus berusaha ke arah mencapai objektif pendidikan bersepadu di dalam membina potensi masyarakat pelbagai budaya untuk menerajui pembangunan negara.Seminar ini turut membawa beberapa sub-tema untuk di bentangkan oleh para ilmuan antaranya adalah dakwah dan agama, sosiologi, kesenian dan kebudayaan, sains dan teknologi, pendidikan dan lain-lainnya, dengan harapan agar  isu-isu terkini dapat diperbahaskan dan dibincangkan dengan lebih mendalam bagi mendapatkan idea-idea yang baru dan segar sekaligus menyumbang ke arah dinamika ilmu di bawah konteks pembelajaran Tamadun Islam, Tamadun Asia Dan Hubungan Etnik di Malaysia khasnya.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204