BANTING, 25 Mei – Pelajar-pelajar PERMATA Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan ditempatkan di sekolah khas untuk mereka kelak yang akan dibina di dalam kawasan Kampus. Menurut Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, USIM kini di dalam proses menubuhkan Kolej PERMATA Insan di USIM dan projek tu telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran (sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Pengajian Tinggi).
“Kolej PERMATA Insan USIM akan ditubuhkan dalam tempoh 2 tahun lagi, sekitar tahun 2015. Apabila siap kelak, Kolej ini bakal menjadi penghubung (bridge) untuk anak-anak PERMATA ini dalam menyediakan platform pembelajaran yang lengkap sehingga tamat Tingkatan 5,”ujar beliau ketika merasmikan Program Perkhemahan Bersepadu PERMATA Insan 1/2013.
Majlis perasmian ini turut dihadiri YBhg. Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarbangsa), Prof Dato’ Musa Ahmad, YBhg. Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali serta Pengarah Pusat PERMATA Insan, Prof. Dato’ Dr. Mizan Adillah Ahmad Ibrahim. Program Perkhemahan Bersepadu selama seminggu bermula 25 Mei sehingga 1 Jun 2013 diadakan di Sekolah Menengah Sains Banting, Jalan Sultan Suleiman Jugra, Banting Selangor disertai seramai 127 orang peserta.
Penglibatan peserta program kali ini terdiri daripada usia lapan sehingga sepuluh tahun merangkumi pengambilan sesi pertama tahun 2010 searamai 48 orang, pengambilan kedua tahun 2011 seramai 32 orang, dan pengambilan ketiga tahun 2012 seramai 46 orang dari seluruh negara.
Menurut Pengarah Pusat PERMATA Insan “Program Perkhemahan Bersepadu seperti ini diadakan dua kali setahun sewaktu cuti penggal persekolahan pada pertengahan tahun (Jun) dan akhir tahun (Disember) di USIM atau lokasi-lokasi yang bersesuaian.”
Program perkhemahan kali ini diisi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik berpandukan modul yang terbaik seiring ilmu ‘aqli dan naqli.
Disediakan oleh :
Mariam Thany
Penolong Pegawai StraComm
Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman, Penolong Pendaftar StraComm