KUALA LUMPUR – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama strategik USIM Healthcare Sdn. Bhd., Hospital PUSRAWI Sdn. Bhd., MEDICOM, Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur dan SHINE telah menyantuni lebih 50 orang peserta dari golongan gelandangan dan rentan menerusi pemeriksaan kesihatan kulit percuma oleh pakar dermatologi bertauliah dari sektor awam dan swasta pada 27 Julai 2025 baru-baru ini.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini telah dijalankan di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur, yang juga merupakan inisiatif USIM Living Lab @ Chow Kit, di bawah projek penyelidikan bertajuk “Understanding the Burden of Dermatological Conditions Among People Experiencing Homelessness and Their Impact on Quality of Life” yang diketuai oleh Dr. Ummu Aiman Faisal.

Bertempat di Rumah Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab, selain pemeriksaan Kesihatan kulit, turut diadakan sesi ceramah santai, pemberian makanan percuma, serta nasihat pakar kesihatan secara percuma.

Menurut Dr. Ummu Aiman, “Program ini bukan sahaja membawa rawatan kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga menjadi ruang kajian lapangan untuk mengenal pasti isu sebenar yang dihadapi golongan rentan. Kami ingin wujudkan penyelesaian yang bersifat inklusif dan berpaksikan data.”

“Pemeriksaan menyeluruh ini melibatkan penilaian klinikal dan soal selidik seperti Dermatology Life Quality Index (DLQI) bagi menilai tahap impak penyakit kulit terhadap kualiti hidup golongan gelandangan dan rentan. Para peserta juga menerima kit kebersihan kulit sebagai langkah sokongan terhadap penjagaan kendiri”, ujarnya lagi.

Program ini turut memperkenalkan penggunaan KLIP Mobile Klinik, iaitu klinik bergerak yang membolehkan pemeriksaan dilakukan dalam persekitaran lebih selesa dan berprivasi. Inisiatif ini membuka potensi penggunaan tele-dermatologi dalam kalangan komuniti rentan sebagai pendekatan rawatan yang lebih mudah diakses.

Rakan-rakan strategik turut menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dalam program akan datang, malah berharap agar program seperti ini dapat diperluas ke lokasi dan komuniti lain yang memerlukan.

Kolaborasi pelbagai pihak ini memperlihatkan usaha bersama untuk memperkasa komuniti terpinggir melalui pendekatan kesihatan awam yang bersepadu. Program ini juga menyumbang ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, serta SDG 10: Pengurangan Ketidaksamaan.

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini