PETALING JAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) telah mengadakan kunjungan dan perbincangan strategik bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan ekosistem koperasi, penyelidikan serta pembangunan kapasiti.
Perbincangan yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz pada 6 Mac 2026 baru-baru ini diketuai oleh Pengarah PLiMJI, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, bersama delegasi USIM. Turut hadir sama Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Felo Budi USIM. Delegasi tersebut telah disambut oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Pertemuan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi dalam bidang perundingan, penyelidikan, latihan industri serta peluang kerjaya kepada pelajar USIM, di samping menyokong pembangunan sektor koperasi di Malaysia.
Menurut Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, kerjasama antara institusi akademik dan organisasi koperasi nasional mampu membuka ruang kepada pembangunan ilmu yang lebih aplikatif serta memberi manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat.
“Kerjasama ini berpotensi memperkukuh ekosistem koperasi termasuk koperasi mahasiswa, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan nilai dan prinsip Islam,” katanya. Antara bidang kerjasama yang dibincangkan termasuk kajian penstrukturan semula koperasi mahasiswa universiti (KOSISWA) bagi memperkukuh tadbir urus, model perniagaan dan tahap penglibatan mahasiswa dalam aktiviti keusahawanan koperasi.
Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka potensi pembangunan produk perlindungan kewangan berasaskan model takaful koperasi yang selari dengan prinsip kewangan Islam seperti ta’awun dan perkongsian risiko.
Turut dibincangkan ialah pembangunan kajian dan modul latihan berkaitan pelancongan mesra Muslim, selaras dengan potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim di peringkat global serta peranan koperasi dalam membangunkan produk pelancongan patuh syariah.
Sebagai tanda komitmen awal terhadap kerjasama ini, kedua-dua pihak turut menandatangani Letter of Intent (LOI) bagi memperkukuh kerjasama strategik antara USIM dan ANGKASA.
Kerjasama ini dijangka memberi impak kepada pembangunan penyelidikan, pengukuhan keusahawanan mahasiswa serta menyokong agenda pembangunan ekonomi koperasi negara melalui pendekatan kolaborasi antara universiti dan industri.
