NILAI- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh lagi agenda pemerkasaan kebolehpasaran graduannya menerusi kerjasama strategik dengan Nozoly Food Industry Sdn. Bhd. (NFI) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung dalam satu majlis rasmi di Lounge Aras 6, Bangunan Canselori pada 8 Mei 2025.
Kerjasama ini merangkumi beberapa inisiatif utama termasuk penyediaan peluang latihan industri, penempatan pekerjaan serta penglibatan dalam projek pembangunan berkaitan industri di peringkat fakulti. Antara bidang pengajian yang menjadi tumpuan utama NFI adalah perakaunan, pemasaran dan kejuruteraan elektronik, selaras dengan keperluan industri makanan yang kian berkembang. Namun begitu, ruang turut dibuka kepada pelajar daripada bidang pengajian lain yang relevan, sekali gus menggalakkan penyertaan aktif daripada kalangan pelajar, pensyarah dan alumni USIM.
Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor berkata, kerjasama yang terjalin ini juga merupakan langkah proaktif USIM ke arah pembangunan graduan yang holistik dan berdaya saing dalam pemerkasaan kebolehpasaran graduan USIM ke tahap lebih baik pada masa akan datang, di samping memperkukuhkan jaringan strategik antara universiti dengan pihak berkepentingan.
”Ia sejajar dengan matlamat USIM dalam menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melalui pemerkasaan hubungan universiti dengan industri agar graduan kekal relevan untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja tempatan dan global”, ujarnya.
NFI merupakan syarikat milik penuh Bumiputera ditubuhkan pada tahun 2013, berpangkalan di Seremban, aktif dalam penyelesaian makanan berkualiti tinggi mempunyai komitmen untuk memperluas pasaran syarikat ke peringkat antarabangsa disamping membuka peluang kerjasama dalam aspek pembangunan kebolehpasaran graduan. Justeru, kerjasama dengan NFI bakal merealisasikan hasrat USIM untuk memberi ruang kepada pelajar mempersiapkan diri sebelum menghadapi cabaran alam pekerjaan yang semakin dinamik.