NILAI  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik sinergi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha membudayakan literasi serta mentadabburi al-Quran khususnya bagi menyantuni golongan masayarakat Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan komuniti OKU.

Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik ini bertujuan memastikan hubungan yang erat dan berterusan antara kedua-dua universiti, khususnya dalam pembangunan model pendidikan Quran yang inklusif serta pemerkasaan ekosistem sukarelawan cakna OKU di institusi pengajian tinggi.

“Hasil penyelidikan yang diperkenalkan ini bukan sahaja memenuhi keperluan akademik, malah menjadi rujukan penting kepada pelaksana dasar, pendidik, sukarelawan dan agensi agama dalam usaha membangunkan masyarakat yang lebih inklusif,” katanya lagi.

Majlis berlangsung di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM turut menyaksikan penyerahan dua buah buku hasil penyelidikan bersama iaitu Buku Model Pengajaran dan Pembelajaran Quran bagi OKU dan Buku Garis Panduan Sukarelawan Cakna OKU di IPT.

Buku Model Pengajaran dan Pembelajaran Quran bagi OKU merupakan hasil penyelidikan Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) Ibnu Ummi Maktum di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang diketuai oleh USIM bersama rakan penyelidikan dari UKM dan Universiti Islam Selangor (UIS). Model ini mengetengahkan pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam membangunkan kaedah pengajaran Quran yang lebih inklusif dan sesuai dengan potensi OKU pelbagai kategori.

Sementara itu, Buku Garis Panduan Sukarelawan Cakna OKU di IPT dibangunkan sebagai dokumen rujukan komprehensif bagi memupuk budaya kesukarelawanan yang inklusif dan prihatin di institusi pengajian tinggi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 10 dan 17. Buku ini merupakan hasil Projek Penyelidikan Kelestarian UKM 2024 yang diketuai oleh Dr. Syar Meeze Mohd Rashid dengan penglibatan Pengarah UMMI USIM sebagai penyelidik bersama.

Pada majlis yang sama turut dilancarkan Buku Sukarelawan Dakwah OKU yang memperkenalkan model baharu berasaskan pendekatan Hadis Arba’in Nawawi, hasil penyelidikan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) KPT yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Noornajihan Jaafar dari UMMI USIM dengan kerjasama penyelidik UKM. Model ini menekankan pembentukan karakter sukarelawan dakwah OKU merangkumi aspek rohani, pemikiran, sikap, personaliti, komunikasi dan kemahiran.

USIM diwakili oleh Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), mewakili Naib Canselor USIM, manakala UKM diwakili oleh Profesor Dr. Mohd Mahzan Awang, Dekan Fakulti Pendidikan UKM, mewakili Naib Canselor UKM. Turut hadir ialah Profesor Madya Dr. Hj. Norakyairee Mohd Raus, Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM dan Profesor Madya Dr. Hasnah Toran, Pengerusi Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM.