Nilai 18 MAC 2014 – Majlis Makan Tengahari bersama Pegawai Pengurusan Keselamatan Negeri Sembilan meriah disertai oleh seramai 20 orang Delagasi daripada Agensi Pegawai Keselamatan Setempat seluruh Negeri Sembilan yang terdiri daripada PDRM, Bomba dan Penyelamat, RELA, Jawatankuasa Penduduk sekitar Taman Perumahan Berhampiran USIM dan agensi keselamatan lain.

Majlis yang diadakan di Lounge Eksekutif Canselori turut dihadiri oleh pegawai-pegawai keselamatan USIM dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti. YBhg. Prof Dato’ Dr Asma Ismail Naib Canselor USIM turut sama bagi meraikan majlis tersebut.

Majlis anjuran Bahagian Keselamatan USIM ini adalah bertujuan bagi menghargai dan merealisasikan hasrat murni USIM berhubung kerjasama yang dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa keselamatan setempat dalam usaha untuk merapatkan hubungan serta mengenali lebih rapat agensi keselamatan setempat yang telah banyak membantu pihak Universiti menjaga keamanan dan keselamatan kampus selama ini.

Sehubungan itu, USIM memulakan langkah strategik dengan membina reputasi sebagai IPTA yang sentiasa mempunyai hubungan dan kerjasama yang baik dalam semua agensi keselamatan yang berada di Negeri Sembilan. Jalinan kerjasama ini juga bakal membina hubungan baik dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang berpotensi di masa hadapan.

YBhg. Prof Dato’ Dr Asma Ismail berkata  usaha untuk membendung jenayah tidak seharusnya diletakkan di atas bahu pihak Bahagian Keselamatan  semata-mata, tetapi sebaliknya warga kampus dari pelbagai lapisan juga perlu turut sama mengambil peranan masing-masing dalam menjaga keamanan serta ketenteraman awam di kampus ini. “Dalam soal menjaga keselamatan ini, kita semua perlu bermuafakat serta sentiasa peka dengan apa yang sedang berlaku di kawasan sekeliling kita. Warga Kampus tidak kira kakitangan dan pelajar perlu berganding bahu untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak Bahagian Keselamatan dengan melaporkan setiap kejadian jenayah di tempat mereka”,tambahnya lagi.

Badan Pelajar juga berperanan dalam membantu Bahagian Keselamatan untuk membanteras dan menjaga aspek keselamatan kampus. Ini boleh dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak Bahagian Keselamatan untuk menganjurkan program-program kesedaran jenayah kepada warga kampus. Selain itu, agensi keselamatan setempat yang merupakan rakan keselamatan Universiti juga berperanan untuk menyampaikan maklumat-maklumat mengenai pelanggaran aspek keselamatan kepada warga kampus secara keseluruhannya. Dengan peranan yang dilaksanakan ini In sha Allah keselamatan dan kehormonian kampus dapat dijaga atau dipelihara dengan baik.

Disediakan oleh:

Pejabat Bahagian Keselamatan

Disemak oleh:

Pusat Komunikasi Strategik