KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengorak langkah memperkasa institusi masjid apabila syarikat milik penuhnya, USIM Holdings Sdn Bhd, melancarkan aplikasi pintar USIMMasjidPro dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Surau Irtifa’, Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2026.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Zulkifli Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah progresif dalam memperkasa pengurusan masjid secara lebih sistematik, telus dan inklusif.
Dibangunkan bersama rakan teknologi tempatan, HPSC Sdn Bhd, aplikasi ini bukan sekadar platform digital, malah sebuah ekosistem pintar yang mengintegrasikan pengurusan kariah, khairat kematian, takwim aktiviti, modul infaq digital, waktu solat, Al-Quran serta siaran langsung dari Mekah dalam satu sistem bersepadu.
Menurut Pengerusi USIM Holdings Sdn Bhd, Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, inisiatif ini mencerminkan aspirasi universiti yang bukan sahaja melahirkan graduan, tetapi turut memimpin solusi ummah berteraskan integrasi ilmu dan teknologi.
“Setiap transaksi infaq direkodkan secara sistematik melalui sistem Akaun Maya (Virtual Account) yang diuruskan oleh Affin Bank Berhad sebagai bank penyelenggara, sekali gus memastikan ketelusan dan keselamatan kewangan masjid,” jelas beliau.
Sehingga 13 Februari 2026, sebanyak 500 masjid di seluruh negara telah berdaftar menggunakan aplikasi ini, dan ini satu pencapaian signifikan yang membuka potensi penyertaan ribuan lagi masjid dan surau dalam agenda transformasi digital pengurusan rumah Allah.
Lebih menarik, penggunaan aplikasi ini ditawarkan tanpa kos permulaan, menjadikannya model pendigitalan inklusif yang selari dengan aspirasi kewangan Islam sebagai instrumen amanah dan pemerkasaan komuniti.
Pelancaran USIMMasjidPro membuktikan bahawa USIM terus memainkan peranan sebagai universiti berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang bukan sahaja relevan dalam wacana akademik, malah responsif terhadap keperluan masyarakat dan institusi Islam masa kini.

