MARAN – Hasrat Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk melahirkan pemimpin masa depan berjiwa besar tercapai apabila 60 mahasiswa daripada pelbagai fakulti telah terpilih untuk menjalani Kem Saringan program Young Muslim Leaders of the Future (YMLF) di Kem Bina Negara Maran, Pahang pada 3 hingga 8 September 2012.
Menurut beliau, sebagai sebuah universiti Islam, USIM perlu menyediakan program terancang yang boleh memacu dan mempercepat proses membina pemimpin masa depan yang mempunyai latar belakang Islam yang kukuh untuk meneraju universiti dan negara di masa hadapan, katanya ketika merasmikan program tersebut.
“Kita akan membawa mereka yang terpilih ini untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin dalam lapangan bidang masing-masing untuk mereka belajar menjadi pemimpin secara hands-on dan mengetahui selok-belok menjadi pemimpin dalam bidang tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau juga mengharapkan agar mahasiswa yang terpilih ini dapat menjadi insan al- Abrar serta menjadi ilham dan contoh kepada masyarakat dengan mempunyai sifat bersedia berbakti dengan taat dan berbuat baik kepada semua.
Beliau juga berpendapat mahasiswa yang dipilih ini dapat menggilap bakat kepimpinan mereka untuk dilantik menjadi pengerusi di persatuan-persatuan universiti seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Mahasiswa, kelab-kelab, JAKSA dan sebagainya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani berkata FKP sedia membantu Universiti memikul amanah bagi melahirkan pemimpin Islam yang dinamik dan ini merupakan satu idea yang bijak.
“Sebagai sebuah fakulti yang mementingkan aspek kepimpinan dan pengurusan, kami bersedia menggalas tanggungjawab untuk bersama-sama membantu USIM melahirkan graduan yang boleh memimpin dan mengurus organisasi dengan baik serta menghayati nilai-nilai Islam,” katanya ketika ditemubual.
Mereka yang terpilih mengikuti kem saringan ini telah dipilih berdasarkan pencapaian akademik PNGK 3.0 ke atas dan seramai 659 mahasiswa telah melalui ujian aptitude secara online dan seramai 60 mahasiswa berjaya dan dipilih untuk menyertai kem saringan ini. Dari jumlah tersebut, hanya 40 peserta yang melepasi kem saringan ini akan dipilih untuk melalui proses interbiu dan 30 orang dari mereka akan mengikuti modul latihan seterusnya. Universiti akan memperuntukkan kira-kira RM 40,000 bagi setiap peserta untuk menjayakan program YLMF ini.
Program dan latihan yang dijalankan sepanjang kem saringan tersebut ialah kefahaman konsep kepimpinan Islam, kemahiran pengucapan awam, kemahiran al-Quran, pembuatan keputusan, ketahanan fizikal bersama jurulatih Biro Tata Negara (BTN), pemikiran kreatif dan kritis dan kemahiran mengurus.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Yang Berbahagia Prof. Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Yang Berbahagia Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof. Madya. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Dr. Adanan Mat Junoh dan para pegawai Universiti yang lain.
Majlis yang bermula jam 9.30 malam itu telah berlangsung di Dewan Utama Kem Bina Negara Maran dan tamat pada jam 10.40 malam.
Oleh:
Fauziah Hassan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan