NILAI, 17 Februari 2020 – Bagi memperluaskan lagi skop agihan zakat kepada asnaf pelajar, Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mewujudkan satu inisiatif baharu bantuan zakat di bawah projek kecemerlangan asnaf iaitu Anugerah Biasiswa Barakah (ABB).

Anugerah ini diberikan kepada seorang penerima bagi setiap fakulti yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam akademik iaitu PNGK 3.5 ke atas dan syarat lain yang ditetapkan. Penerima ABB akan menerima sumbangan zakat secara bulanan sebanyak RM300 sehingga tamat pengajian serta baucer buku bernilai RM200.

”USIM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penyumbang zakat dalam kalangan kakitangan USIM serta institusi korporat. USIM akan memastikan zakat ini dapat diagihkan agar membantu meringankan bebanan kewangan golongan asnaf di USIM,” ujar YBhg. Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM dalam ucapan perasmian beliau.

Menurut Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah PWZ, kejayaan USIM dalam mewujudkan ABB adalah hasil sumbangan zakat secara tetap oleh para kakitangan USIM melalui potongan gaji dan juga sumbangan para korporat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Etiqa Takaful, Tabung Haji dan lain-lain. Ternyata kesemua sumbangan ini memberikan impak yang sangat besar kepada penerima ABB dan asnaf-asnaf yang lain.

PWZ mewujudkan ABB sebagai inisiatif baharu agihan zakat kepada asnaf di bawah projek kecemerlangan asnaf. PWZ percaya biasiswa ABB ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan pelajar bahkan dapat meningkatkan kecemerlangan akademik mereka”, tambah Dr. Mushaddad.

Majlis turut menyerahkan baucer buku kepada 400 orang asnaf fakir di USIM yang berjumlah RM100 kepada setiap penerima. Pemberian ini adalah hasil sumbangan zakat RM750,000 pada tahun 2019 daripada Tabung Haji di bawah Program Iqra’.

Menyingkap perkembangan pada tahun 2019, USIM melalui PWZ telah mengagihkan zakat sebanyak RM2,276,815.00 kepada lebih 2000 orang pelajar asnaf fakir dan miskin di USIM.

PWZ berharap dana wakaf dan zakat dapat dipertingkatkan melalui sumbangan yang berterusan daripada kakitangan, masyarakat serta institusi korporat. Ini bagi memastikan PWZ dapat menyalurkan agihan zakat yang berterusan kepada asnaf di USIM.

Untuk sumbangan wakaf dan zakat boleh menghubungi PWZ di talian Pejabat PWZ, 06-798 6292/8054, laman Facebook: Pusat Wakaf dan Zakat USIM atau laman web: http://pwz.usim.edu.my

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan