NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan yang prihatin terhadap kesejahteraan mahasiswa melalui pelancaran rasmi Dapur HEPA (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), USIM hari ini.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang menyifatkan penubuhan Dapur HEPA sebagai satu manifestasi komitmen universiti dalam menangani isu kebajikan pelajar secara berstruktur, inklusif dan mampan.
“Dapur HEPA bukan sekadar ruang penyediaan makanan, tetapi sebuah platform strategik yang menghimpunkan pelbagai inisiatif bantuan seperti food bank, tajaan makanan, agihan zakat, dan program sosial pelajar yang digerakkan secara bersama oleh Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Islam dan Majlis Perwakilan Pelajar,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Sehingga hari ini PWZ mencatatkan jumlah keseluruhan agihan bantuan kepada pelajar mencecah RM1.1 juta, merangkumi tajaan makanan bernilai RM107,250.00, agihan zakat sebanyak RM992,456.00, serta bantuan kebajikan harian dan perubatan berjumlah RM8,703.00.
Melalui Dapur HEPA, beberapa program utama telah dilaksanakan dengan jayanya, antaranya agihan makanan percuma dan food bank di Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), sumbangan program iftar dan ihya’ Ramadan, gerobok makanan di pelbagai fakulti, serta program makanan RM1 yang dilaksanakan secara konsisten pada setiap hari bekerja. Program CSR RM1 misalnya, menyediakan makan tengah hari kepada 500 pelajar setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala inisiatif Ihya’ Ramadan telah menyantuni 250 pelajar setiap hari sepanjang bulan mulia itu, dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM154,000.00.
Bukan itu sahaja, program Musa’adah On The Spot turut diwujudkan bagi memberikan bantuan segera kepada pelajar dan staf yang berdepan kesukaran mendesak, memperlihatkan komitmen USIM untuk bertindak pantas dan responsif terhadap keperluan warga kampus.
Menurut Prof. Madya Dr. Mushaddad lagi, pelancaran Dapur HEPA adalah titik tolak kepada usaha lebih meluas untuk memperkasa sokongan sosial dan kesejahteraan mental pelajar, selaras dengan prinsip keadilan sosial dan ihsan yang menjadi teras pendidikan di USIM.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar yang memerlukan, malah turut memupuk budaya prihatin dalam kalangan komuniti kampus. Kita harap lebih ramai pihak termasuk alumni dan badan korporat tampil membantu menerusi saluran wakaf, zakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” tambah beliau.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh wakil-wakil pelaksana program termasuk Pusat Islam USIM, Pusat Wakaf dan Zakat USIM serta kepimpinan mahasiswa.
Dengan pelancaran Dapur HEPA, USIM membuktikan bahawa komitmennya terhadap kebajikan mahasiswa bukan sekadar janji manis, sebaliknya dizahirkan melalui inisiatif berimpak tinggi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian pelajar dengan penuh rasa prihatin dan tanggungjawab.