NILAI- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan Sekretariat Gerakan Pengguna Siswa (GPS) untuk menarik minat dikalangan mahasiswa melibatkan diri dalam program kepenggunaan bermula di peringkat universiti, sekaligus menjadikan mereka ikon kepada masyarakat luar.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (PPDNKK), Negeri Sembilan, Encik Talal Bin Haji Abu Bakar, bertempat di Galeri Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 3 Mei 2012 yang lalu.

Menurut Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda yang juga merangkap penasihat sekretariat GPS berharap agar mahasiswa menjadi lebih peka dengan pelbagai isu yang berkaitan dengan perihal kepenggunaan seperti isu penipuan komersial, halalan toyyiban, hak pengguna dan sebagainya serta dapat menyumbang terus kepada masyarakat umum untuk menjadi pengguna bijak.

“Pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang tahun ini untuk memastikan program ini bergerak lancar dan bergiat aktif pada masa akan datang disamping dapat menarik minat lebih ramai mahasiswa untuk turut serta menjayakan lagi program ini” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah PPDNKK Negeri Sembilan, En. Talal Hj. Abu Bakar berkata isu kepenggunaan ini tidak hanya terhenti di dalam kampus sahaja, malah mahasiswa yang betul-betul berminat boleh memperjuangkan isu kepenggunaan ini di alam pekerjaaan.

Menurutnya lagi program seperti ini telah dilaksanakan diperingkat sekolah dan universiti di seluruh negara dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti seperti debat pengguna, simposium, explorace dan banyak lagi.

Beliau juga berharap, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) turut diberi peluang untuk turut serta mengambil bahagian di dalam pertubuhan GPS seperti ini agar mereka tidak ketinggalan serta dapat bekerjasama dengan mahasiswa lain untuk menyebarkan maklumat berkaitan isu kepenggunaan kepada masyarakat umum.

Oleh :
Eb Nathrah Binti Mohammed Said,  Eb Nur Adibah Binti Mohd Din