NILAI, 5 JAN 2015 – Satu Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara USIM dengan dua universiti terkemuka di Nigeria sebagai rakan strategik iaitu Al-Qalam University dan University of Ilorin berlangsung dengan jayanya di Galeri, Bangunan Canselori.
Menurut Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, perjanjian ini merupakan inisiatif universiti bagi memenuhi kehendak serta keperluan institusi untuk menggalakkan pemindahan kepakaran dan idea.
“Menerusi MoU yang ditandatangani bersama Universiti Al Qalam dan Universiti Ilorin, pelbagai peluang akan dicapai menerusi sesi bengkel dan latihan yang bakal dijalankan secara bersama serta penerokaan projek-projek penyelidikan dan pembangunan”.
“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dalam penerbitan percambahan idea bagi isu-isu kepemimpinan dan pengurusan di dalam Islam”, tambah beliau lagi.
USIM diwakili oleh Naib Canselor, YBhg Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Al Qalam University diwakili oleh Naib Canselor Prof. Shehu G. Ado, Universiti of Ilorin diwakili oleh Naib Canselor Prof. Abdulganiyu Ambali. MoU ini disaksikan oleh Dato’ Prof Asma Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Pendaftar USIM, Encik Muhammad Haizuan Rozali.
Sejurus selepas majlis MoU berlangsung, Kursi Kepemimpinan Islam di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dengan kerjasama USIM ‘Alamiyyah mengadakan Bengkel Kolaboratif Kepemimpinan untuk Pendidikan Tinggi bertemakan Visi dari Perspektif Islam yang berlangsung pada 5 hingga 7 Januari 2015 yang melibatkan 8 orang delegasi dari Nigeria.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204