Bandar Baru Nilai, 27 April 2010 – USIM sangat menekankan pembentukan graduan yang berkualiti dari segi akademik, sosial, spiritual yang boleh menjadi individu yang multifunctional dan produktif untuk bangsa, agama dan negara.

Kecemerlangan sesebuah universiti itu bukan sahaja diukur melalui prestasi atau kualiti graduan, tetapi juga penghasilan penyelidikan pensyarah yang dikonferensi dan boleh diguna pakai oleh masyarakat dan industri.

Sejajar dengan objektif itu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan Nutramedica Laboratories Sdn Bhd tentang pemindahan teknologi pengekstrakan Anthocyanin dari ubi keledek ungu (Purple Sweetpotato, PSP).

Anthocyanin ialah salah satu ‘antioxidant’ yang penting untuk kesihatan dalaman dan luaran bagi memerangi serangan radical bebas (free radicals) yang mengakibatkan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit kardiovascular, kanser dan lain lain penyakit moden, juga proses penuaan.

Penyelidikan yang telah dijalankan di USIM oleh Prof. Madya Dr Zaiton Hassan dan pasukannya menunjukkan bahawa anthocyanin dari keledek ungu ini memberi warna kemerahan kebiruan yang stabil apabila digunakan pada  produk yang diproses menggunakan haba seperti penghasilan minuman dan makanan.  Ini berbeza dengan anthocyanin dari sumber tumbuhan lain yang mudah rosak dan bertukar warna dari merah kecoklat apabila di beri perlakuan haba. Pigmen anthocyanin dari keledek ungu ini juga telah didapati mampu meningkatkan aktiviti mengikat radical bebas. Kegunaan pigmen anthocyanin sebagai pewarna asli dalam produk kosmetik telah mula diterokai oleh negara  seperti Jepun.

Implikasi hasil kajian penyelidik USIM ini bukan sahaja untuk kebaikan USIM dan Nutramedica, tetapi juga kepada petani yang menanam ubi keledek terutamanya ubi keledek ungu.  Ubi keledek ungu bukan sahaja setakat hidangan ubi rebus atau kerepek desa atau kuih muih, tetapi ianya merupakan satu produk yang mempunyai nilai tambah(added value)  bertaraf dunia dan menyumbang kepada kesihatan manusia (functional properties).

Dengan terjalinnya kerjasama anata dua pihak ini diharapkan dapat merealisasikan hasrat USIM dalam menghasilkan pelbagai produk yang halal, bermutu tinggi lagi bermanfaat kepada pengguna.

Oleh :
Unit Komunikasi Korporat
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028