MAKKAH – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengorak langkah dalam usaha memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menyediakan penerbitan Buku Panduan Ibadat Haji Mesra OKU Penglihatan versi Braille. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Mohd Naim Mokhtar telah meluangkan masa untuk hadir ke Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) Land Premium Hotel, Makkah bagi melancarkan buku tersebut.
Inisiatif ini merupakan hasil sinergi antara Tabung Haji dan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM melalui Projek Khas yang diketuai oleh Penyelaras Bahagian Penyelidikan Inklusif UMMI, Dr. Mohd Nur Adzam Rasdi, merangkap Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM. Usaha ini turut mendapat sokongan daripada NGO Islam, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan juga Pusat Penerbit USIM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa bagi musim haji tahun ini, seramai 11 orang jemaah haji daripada golongan OKU penglihatan berada di Tanah Suci dan akan menerima bimbingan serta bantuan sewajarnya daripada para petugas Tabung Haji (TH).
“Inisiatif ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan prinsip ‘Tiada Siapa Ketinggalan’. Ia bukan sahaja memberi manfaat besar kepada jemaah haji OKU Penglihatan, malah berpotensi menjadi model rujukan kepada agensi lain dalam merangka pendekatan ibadah yang lebih inklusif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah UMMI, Profesor Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus berkata, penerbitan buku ini menandakan kejayaan besar dalam merealisasikan agenda inklusiviti dan kesaksamaan akses kepada pendidikan ibadah yang sistematik untuk semua golongan.
“Semoga dengan terbitnya buku panduan ini, ia memberi manfaat besar kepada rakan-rakan OKU penglihatan serta menyuntik semangat kepada mereka yang belum menunaikan haji agar bersedia apabila tiba giliran. Sekiranya mereka mempunyai kemampuan dan pengiring, kita tidak menolak untuk memanggil mereka sebagai Duyufurrahman pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.
Projek pembangunan panduan ini telah dimulakan sejak tahun 2023 melalui projek tahun akhir pelajar USIM dan pada tahun 2024 USIM telah dilantik sebagai perunding oleh Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji. Skop kerjasama meliputi pembangunan kandungan, reka bentuk mesra Braille serta semakan kandungan secara bersama bagi memastikan kesesuaian dan ketepatan dalam menyampaikan panduan ibadah secara efektif kepada komuniti OKU Penglihatan.
Kos keseluruhan projek transkripsi dan pencetakan ini mencecah RM21,597.57, satu pelaburan strategik bagi memastikan komuniti berkeperluan khas turut dapat menjadi tetamu Allah SWT dengan penuh keyakinan dan kefahaman.
Dengan langkah ini, USIM dan Tabung Haji terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan penyelidikan, inovasi dan bimbingan bersifat inklusif serta menjadikan ibadah Haji satu pengalaman yang bermakna dan boleh dicapai oleh semua lapisan masyarakat