NILAI, 22 Mac 2019 – Kepulangan Johan Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) yang dibarisi oleh empat mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Adam Fikry Bakru Razi, Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha disambut ceria oleh Pengurusan Universiti dan rakan-rakan pelajar sewaktu keluar dari balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
USIM diketuai oleh Naib Canselor, YBhg Prof Dato’ Dr Musa Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBhg Prof Madya Dr Rushdan Jailani bersama-sama Pengarah dan Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Dr Hayati Ismail bersama Dr Fauziah Hassan dan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Dr Nurkhamimi Zainuddin dan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr Arif Fahmi Md. Yusof bersama wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar USIM ceria meraikan kepulangan wira dan wirawati pendebat USIM dan jurulatih debat.
“Ini merupakan satu kejayaan manis buat USIM. Diharapnya kejayaan ini akan menyuntik semangat kepada pelajar yang lain supaya dapat mengekalkan momentum sebegini dalam menyertai mana-mana pertandingan. Kejayaan ini telah menunjukkan pelajar USIM ada bakat tersendiri selain patut terus konsisten dan sasarkan untuk hasil yang lebih baik,” ujar YBhg Prof Madya Dr Rushdan Jailani.
Tambahnya lagi, USIM mengetengahkan model GIINA iaitu model Graduan Integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang merangkumi tiga elemen, holistik, berkeusahawanan dan keseimbangan menyerlahkan kebolehan lain pelajar USIM yang bukan sahaja cemerlang dalam pembelajaran tetapi boleh tampil hebat dalam pengucapan awam.
Prof Dato’ Dr Musa Ahmad pula ketika ditemui berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar USIM dan mereka dilihat merupakan ikon pelajar yang wajar diberi penghargaan di atas pencapaian kerana bukan sahaja mengharumkan nama Universiti malah Malaysia.
“Alhamdulillah, ini adalah rekod terbaik universiti kerana berjaya menebus kejayaan tahun lalu sebagai naib johan. Saya lihat, kejayaan ini merupakan satu penanda aras kepada USIM untuk melahirkan lebih ramai pendebat hebat apabila pendebat USIM juga diiktiraf sebagai pendebat di ranking pertama dan kedua keseluruhan,” ucapnya.
“Perancangan masa hadapan, ini waktu terbaik untuk mengadakan pertemuan dan berdiskusi bersama Alumni Debat USIM untuk meraikan mereka kembali ke USIM untuk melatih pasukan kelab debat USIM seterusnya sama-sama melihat apa bentuk keperluan untuk ditambahbaik samada pertingkatkan fasiliti dan penjadualan latihan supaya USIM kekal konsisten untuk mencapai sasaran yang dihasratkan,” tambahnya lagi.
Bagi Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, 22, pendebat ranking pertama keseluruhan berkongsi pengalamannya sepanjang bertanding di Doha amat menarik kerana dapat berkenalan dengan peserta dari pelbagai bangsa.
“Pertandingan ini merupakan platform terbaik untuk peserta bertukar fikiran bersama-sama kumpulan yang mencintai Bahasa Arab kerana walaupun bukan berasal dari negara Arab tetapi masih boleh menempa kejayaan dan sebagai motivasi diri, saya tidak mengatakan belajar Bahasa Arab itu susah kerana bagi saya kesusahan itu perlu dihadapi kerana ia sebahagian proses pembelajaran untuk mengajar,” ucapnya.
Manakala, Suwaibah Mustapha, 20, tidak menyangka diumumkan sebagai pendebat ranking kedua kerana saingan dari negara Turki malah pada separuh akhir untuk mengalahkan Universiti Maldive sangat sengit.
“Rahsia kejayaan adalah berkat doa dari ibu bapa dan solat hajat keluar selain sokongan dari rakan terdekat yang banayk membantu tugasan kuliah, termasuk jurulatih, Encik Ahmad Norsyafwan yang banyak memberi tunjuk ajar semasa sesi latihan termasuklah perkongsian idea bersama pasukan debat dari UIA dan UM tidak dilupakan,” ujarnya.
“Saya berharap rakan yang lain menjadikan kejayaan ini sebagai inspirasi untuk mempelajari Bahasa Arab kerana sebenarnya Bahasa Arab adalah sesuatu yang indah dan kita tidak rugi jika mendalaminya,” tambahnya lagi.
IUADC yang diadakan secara dwi tahunan ini telah memasuki edisi kelima sejak mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan yang bermula sejak 15 Mac lalu telah disertai lebih 100 buah pasukan debat dari seluruh dunia yang berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032