NILAI  – Sebagai tanda sokongan terhadap agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih sebagai penganjur bersama Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM. Majlis berprestij ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Sejak tahun 2019, tarikh 5 Oktober telah diisytiharkan sebagai Hari Akademia Malaysia bagi menghargai jasa serta sumbangan warga akademik di pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi termasuk institut latihan dan vokasional. Selain itu, KPT turut memperkenalkan Oktober sebagai Bulan Akademia, yang diisi dengan pelbagai program wacana serta aktiviti intelektual di seluruh IPT bagi memperkasa peranan akademia dalam membina masyarakat berilmu.

Sambutan Hari Akademia diadakan bagi mengangkat dua tujuan utama, iaitu menghargai khidmat bakti dan sumbangan tenaga akademik di pelbagai institusi pendidikan tinggi, di samping memberi pengiktirafan terhadap peranan penting warga pendidik dalam membangunkan modal insan berkualiti serta memperkukuh pendidikan negara di persada antarabangsa.

Bertemakan “Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi”, sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada keperluan mendepani arus perubahan teknologi dan inovasi dalam landskap pendidikan negara. Penerapan kecerdasan buatan dijangka memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran, selain memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi selaras dengan agenda Malaysia Madani.

Seiring dengan itu, Naib Canselor USIM menekankan bahawa universiti komited memperkasa kurikulum dengan elemen AI dan keusahawanan, meningkatkan kualiti pengajaran berasaskan Outcome-Based Education, serta memacu strategi pembangunan akademik bertunjangkan tiga fokus utama iaitu pengajaran berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi, dan pengantarabangsaan. USIM turut memperkenalkan inisiatif baharu termasuk Kerangka AI Syariah dan ILA Chatbox sebagai bukti kesungguhan universiti dalam memanfaatkan AI secara beretika dan memberi impak nyata kepada masyarakat.

Majlis berlangsung bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan dihadiri oleh warga akademik dari pelbagai institusi. USIM berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi sambutan peringkat kebangsaan ini, yang bukan sahaja meraikan sumbangan golongan akademia, malah menjadi wadah pertemuan ilmiah untuk membincangkan peranan pendidikan tinggi dalam era kecerdasan buatan.

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani